Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipengaruhi oleh penanda aras harga minyak mentah yang stabil dalam keadaan kebimbangan yang berterusan mengenai kekurangan bekalan getah asli berikutan cuaca buruk di negara pengeluar utama, kata peniaga.
Menurutnya kemungkinan untuk Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah selanjutnya turut meningkatkan sentimen.
“Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh trend bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dalam keadaan ketiadaan pembeli China ketika peniaga mengambil kira kesan penutupan kerajaan AS yang berterusan,” katanya kepada Bernama.
Menurut peniaga itu, harga minyak meningkat pada Jumaat selepas kebakaran melanda satu daripada kilang penapisan terbesar di Pantai Barat AS.
Bagaimanapun, beliau berpendapat harga dijangka mengalami penyusutan paling ketara sejak akhir Jun.
Agensi meteorologi Thailand turut memberi amaran mengenai hujan lebat dan pengumpulan air yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan bermula 6 hingga 8 Okt 2025.
“Pasaran kewangan juga dilaporkan bertambah yakin bahawa Rizab Persekutuan AS akan meneruskan penurunan kadar faedah. Pasaran hampir pasti menjangka penurunan kadar sebanyak 25 mata asas pada Oktober,” kata peniaga.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat tujuh sen kepada 731.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 2.5 sen kepada 570.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial