EKONOMI

Visi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 Berteraskan Tiga Keutamaan - Gabenor BNM

03/10/2025 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 (NS2.0) dirangka dengan visi yang lebih luas berteraskan tiga keutamaan yang saling melengkapi iaitu keterangkuman, pendigitalan dan pemantauan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata keterangkuman memastikan setiap segmen masyarakat, tanpa mengira umur, pendapatan atau lokasi, mendapat manfaat manakala pendigitalan pula membuka ruang kepada pendidikan kewangan yang lebih mudah diakses, interaktif dan berkesan dari segi kos.

“Sementara itu, pemantauan melalui indikator atau penunjuk prestasi yang jelas, akan menjamin usaha semua pihak bergerak seiring dan hasilnya dapat diukur secara telus. Dengan keseimbangan tiga teras ini, kita yakin strategi baharu ini mampu mencetuskan anjakan besar pada tahap literasi kewangan negara,” katanya.

Abdul Rasheed berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan 2025 ,di sini, hari ini. 

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi. 

Abdul Rasheed berkata NS2.0 juga menumpukan kepada prinsip Syariah yang menekankan kepada keadilan, ketelusan dan tanggungjawab.

“Ini akan memperkaya pendekatan literasi kewangan, sekali gus memberikan pilihan beretika yang sejajar dengan nilai sejagat yang dapat menonjolkan kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam.

Menurutnya, literasi kewangan merupakan usaha seluruh negara dan amanah ini tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.

Oleh yang demikian, katanya, bagi memperkukuh penyelarasan, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) sedang dalam proses menubuhkan Pejabat Koordinasi Kebangsaan yang akan beroperasi pada Januari 2026 dengan BNM sebagai tuan rumah.

“Pejabat ini akan menempatkan wakil daripada BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Dengan penstrukturan ini, usaha kolektif dapat digerakkan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya. 

Menerusi satu kenyataan berasingan, BNM berkata NS2.0 menggariskan lima fokus strategik yang dirangka bagi membantu rakyat Malaysia menguruskan kewangan dengan lebih baik pada pelbagai peringkat kehidupan.

Menampilkan tema “Membina Masa Depan Kewangan yang Kukuh”, NS2.0 mempunyai beberapa inisiatif utama termasuk kerjasama yang lebih kukuh dengan industri, masyarakat dan kumpulan komuniti bagi memperluas capaian FEN.

Selain itu, sokongan yang lebih baik akan diberi untuk isi rumah yang mudah terjejas dan komuniti yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan, termasuk khidmat nasihat yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

Bagi memastikan akauntabiliti, BNM berkata NS2.0 dilengkapi dengan rangka kerja pemantauan dan penilaian yang kukuh, lengkap dengan sasaran yang boleh diukur dan Penunjuk Prestasi Utama yang jelas.

Bank Pusat berkata hal ini akan memastikan pelaksanaan yang telus, berasaskan bukti, dan berupaya untuk kekal responsif terhadap keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan