KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Kedua (NS2.0) akan digerakkan dengan pendekatan lebih strategik, berkesan dan inklusif bagi menangani cabaran semasa serta mempersiapkan negara menghadapi keperluan masa depan.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata strategi itu tidak lagi terhad kepada perkongsian maklumat semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen jangka panjang ke arah perubahan tingkah laku, yang mampu menyesuaikan diri dengan landskap kewangan serta pengalaman berbeza masyarakat terhadap wang bagi memastikan keberkesanannya.
Beliau berkata terdapat tiga cabaran utama yang memerlukan perhatian kolektif berikutan hasil Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2024 mendedahkan satu realiti yang bercanggah dengan keadaan semasa.
“Pengetahuan kewangan rakyat Malaysia meningkat daripada 60.2 peratus pada 2021 kepada 62.9 peratus pada 2024. Namun, pada hakikatnya, tingkah laku masih tidak banyak berubah,” katanya ketika berucap pada pelancaran Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan Keempat, hari ini.
NS2.0 dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
Menurut Adnan Zaylani, hanya 58 peratus rakyat Malaysia yang aktif membuat simpanan untuk masa depan, manakala sebahagian besar masih tidak mampu berdepan kecemasan kewangan bernilai RM1,000.
Beliau menegaskan perkembangan ini memberi amaran jelas bahawa pengetahuan sahaja tidak memadai, tetapi ia perlu diterjemahkan kepada tindakan, keyakinan dan daya tahan.
Cabaran lain yang turut disentuh beliau termasuk pendigitalan yang mengubah cara masyarakat menguruskan wang mereka, apabila transaksi urus niasa menjadi lebih pantas, mudah dan seolah-olah lebih berpatutan, daripada e-dompet hingga skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL).
“Namun, kemudahan ini hadir bersama risiko. Kajian sama mendapati 31 peratus rakyat Malaysia berbelanja secara semberono dalam talian, manakala kes penipuan semakin meningkat.
“Lebih membimbangkan, wujud risiko pengecualian digital, iaitu mereka yang kurang celik digital atau mempunyai capaian internet lemah berpotensi untuk tercicir. Jadi, kita perlu memastikan literasi kewangan digital bukan sekadar menguasai aplikasi atau platform,” katanya.
Malaysia juga kata beliau bakal berdepan status negara menua dalam tempoh sedekad akan datang dengan peratusan warga emas yang semakin meningkat setiap tahun, namun tahap persediaan kewangan masih jauh ketinggalan apabila hanya 36 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai penanda asas simpanan persaraan.
“Ini bukan sekadar trend demografi, tetapi cabaran kesediaan kewangan yang mempunyai kepentingan nasional.
“Perancangan persaraan, pembiayaan kesihatan, melindungi warga emas daripada penipuan kewangan — semua ini menuntut tindakan tegas untuk menjamin kesejahteraan mereka pada masa depan,” katanya.
Beliau turut menekankan kekuatan unik Malaysia, iaitu kepelbagaian masyarakat berbilang kaum dan agama yang boleh dimanfaatkan bagi menyampaikan pendidikan kewangan secara lebih berkesan.
Langkah yang berpotensi untuk mengukuhkan mesej BNM kepada komuniti Muslim ialah literasi kewangan Islam, yang menyediakan rangka kewangan kukuh berasaskan tingkah laku kewangan yang beretika dan mempunyai tujuan yang jelas, kata beliau.
Di bawah hala tuju strategik baharu ini, BNM juga akan memperkenalkan Komuniti Penyelidikan FEN (FENRC), iaitu platform khusus untuk memperkukuh penyelidikan literasi kewangan berimpak tinggi dengan tumpuan kepada segmen masyarakat yang paling berisiko.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial