AM

Timbalan Pengerusi, Setiausaha Zon MPPWP Terima Elaun Bulanan Mulai Sesi 2025-2028

03/10/2025 01:38 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Zon dan Setiausaha Zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) akan menerima elaun tetap masing-masing sebanyak RM1,000 dan RM750 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas perkara itu dibawa kepada perhatiannya. 

"Selain itu, bagi menyokong pelaksanaan aktiviti MPPWP, kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan geran aktiviti bagi peringkat zon daripada RM50,000 kepada RM60,000 setahun, manakala bagi sub-zon pula, kita bersetuju untuk naikkan daripada RM20,000 kepada RM25,000 setahun," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPPWP bagi sesi 2025-2028 di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Sebanyak 1,284 orang dilantik sebagai ahli MPPWP mewakili Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada sesi kali ini.

Dr Zaliha berkata pengumuman elaun itu merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan besar MPPWP dalam menggerakkan komuniti. 

"Namun, ia datang dengan sebuah amanah yang besar. Saya minta agar setiap perbelanjaan mesti direkodkan dengan teliti dan apa yang lebih utama adalah pelaksanaan program MPPWP itu perlu membawa manfaat kepada rakyat," katanya.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan