KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 dijangka memberi penekanan yang tinggi terhadap pertumbuhan berteraskan teknologi terutama dalam kecerdasan buatan (AI), automasi, platform digital dan penerimagunaan Industri 4.0.
Ketua Urus Niaga Moomoo Malaysia Ken Low berkata peralihan struktur sedang dilaksanakan, daripada pemasangan kos rendah kepada reka bentuk semikonduktor, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemfabrikatan khusus.
“Laporan menunjukkan sehingga RM227 bilion mungkin diperuntukkan bagi R&D semikonduktor dan pembangunan bakat.
“Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 mengukuhkan trajektori ini manakala insentif seperti elaun cukai dan geran boleh mempercepat pendigitalan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Low berkata penyedia perkakasan semikonduktor dan perkhidmatan digital berada dalam kedudukan yang strategik untuk menerima manfaat daripada insentif dasar.
"Infrastruktur berasaskan awan, AI dan 5G berkemungkinan mendapat perhatian. Aset sokongan seperti pusat data juga dijangka menyaksikan permintaan yang tinggi manakala pengguna terkemudian dalam penerimagunaan digital boleh menghadapi tekanan terhadap penilaian," katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2026 juga dijangka mempercepat pelaburan dalam tenaga bersih, dengan sasaran yang jelas untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050, disokong oleh naik taraf grid dan sistem penyimpanan tenaga maju.
Menurutnya Tenaga Nasional Bhd telah memperuntukkan komitmen berjumlah RM43 bilion untuk memodenkan grid nasional bagi menyokong pengintegrasian TBB dan permintaan yang melonjak terhadap pusat data.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, sebanyak 332 projek TBB berskala besar telah diluluskan, yang menjana hampir 5,900 megawatt kapasiti manakala Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri sedang dilaksanakan untuk menstabilkan bekalan.
Low berkata pelan hala tuju industri keluli turut menyasarkan sektor hijau sepenuhnya menjelang 2050, yang disokong oleh ketelusan karbon dan pembaharuan pelesenan.
“Selain itu, Malaysia turut memacu pembiayaan hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan memperluas kerangka bon hijau.
“Syarikat solar, hidrogen, infrastruktur kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga mungkin menerima manfaat secara langsung. Sementara itu, syarikat utiliti perlu segera menyesuaikan diri atau berisiko menghadapi aset yang tidak lagi bernilai.
"Pelabur juga perlu memantau aliran kewangan yang mampan, yang semakin mempengaruhi peruntukan modal dalam infrastruktur dan tenaga," katanya.
Low berkata sekiranya Belanjawan 2026 dirangka dan dilaksanakan dengan baik, belanjawan ini boleh meletakkan Malaysia sebagai contoh menarik dalam kalangan negara serantau -- yang mempunyai disiplin fiskal seperti negara maju tetapi pada masa sama masih menawarkan premium pertumbuhan dalam teknologi, TBB dan penggunaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial