SINGAPURA, 2 Okt Bernama) -- Keyakinan pelabur jelas kembali terhadap Malaysia, dipacu hasil komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, bekerjasama, berinovasi dan membina ekonomi yang lebih sofistikated dan inklusif, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia pada hari ini jelas lebih kuat dan berdaya tahan, di samping mencatatkan kebangkitan dari segi ranking daya saing global.
“Kemunculan semula Malaysia dalam radar kalangan pelabur global bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil perancangan yang teliti namun, Malaysia tidak akan berpuas hati dengan pencapaian yang telah dilakar.
“Eksport kita semakin pelbagai, dengan teknologi hijau, peranti perubatan dan perkhidmatan digital berkembang pesat sebagai tonggak pertumbuhan baharu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asia 2025 oleh Milken Institute di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam mengharungi landskap global yang semakin sukar pada masa kini, Malaysia mengamalkan pendekatan tiga serampang iaitu menerusi reformasi perindustrian, inovasi dan kekompleksan ekonomi, serta strategi hijau.
Tengku Zafrul berkata reformasi perindustrian negara ditumpukan kepada langkah melengkapkan sektor industri menerusi usaha naik taraf atau menggantikan jentera, peralatan dan proses dengan yang baharu untuk menghadapi cabaran masa depan.
“Melalui usaha menaik taraf industri, pendigitalan dan kemampanan, Malaysia sedang meningkatkan kecanggihan pembuatan, mempercepat penerapan teknologi, dan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Malaysia, yang sejak sekian lama dipercayai sebagai hab pemasangan dan pengujian, kini secara proaktif meningkatkan inovasi dan kekompleksan ekonomi bagi rantaian nilai, melibatkan seperti reka bentuk, pembungkusan termaju, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi semikonduktor,” katanya.
Beliau berkata bagi pelabur, pelaksanaan reformasi perindustrian Malaysia secara berdisiplin menunjukkan tekad negara untuk mempertingkatkan rantaian nilai.
Selain itu, Strategi Pelaburan Hijau (GIS) Malaysia memastikan negara berkedudukan kukuh untuk menerajui tenaga boleh baharu, perkhidmatan karbon dan kewangan mampan, katanya.
Tengku Zafrul berkata semua strategi kebangsaan itu dilengkapkan dengan inisiatif rentas sempadan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang kini menjadi platform penting ASEAN untuk dapat menyepadukan rantaian bekalan, mengukuhkan daya tahan dan mencipta peluang bernilai tinggi rentas sempadan.
Berlandaskan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, blok serantau ini berada di landasan untuk melaksanakan sebahagian besar daripada 18 keberhasilan utama ekonomi (PED) seperti yang ditetapkan mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN minggu lepas.
Beliau berkata ASEAN terus menyerlah -- sebagai sebuah rantau yang unik dan cemerlang -- dalam mengharungi kegetiran cabaran global, dengan pertumbuhan diunjurkan pada 4.2 peratus tahun ini berbanding pertumbuhan global pada 2.8 peratus.
Pada 2024, perdagangan barangan meningkat hampir sembilan peratus kepada US$3.8 trilion, manakala perdagangan perkhidmatan melonjak sebanyak 12 peratus, dan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat 8.5 peratus, berbanding FDI global yang berkurangan 11 peratus.
Tengku Zafrul berkata peranan ASEAN sebagai jambatan dalam dunia yang penuh pertikaian, krisis dan konflik tidak boleh dipandang remeh.
ASEAN kekal sebagai satu daripada sebilangan kecil platform kuasa pertengahan yang dapat menghimpunkan Amerika Syarikat, China, India, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan Eropah untuk bersama-sama.
Beliau berkata Malaysia bertekad untuk memastikan ASEAN kekal terbuka, inklusif dan berpusat sebagai jalan terbaik ke arah keamanan dan kemakmuran untuk semua.
“Berlandaskan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, kami tegas mempertahankan pendirian berkecuali kami atau kerana mengutamakan Cara ASEAN atau ‘ASEAN Way’ ,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial