KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Hishamuddin Aun, sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan negara.
Dalam satu catatan di Facebook malam ini, Fahmi berkata sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan industri media, menjadikan Allahyarham antara tokoh yang disegani.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Dunia kewartawanan kehilangan seorang lagi personaliti besar dengan pemergian Datuk Hishamuddin Aun, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Hishamuddin meninggal dunia akibat radang paru-paru (pneumonia) di Hospital Sultan Idris, Serdang, kira-kira 7.45 malam ini, selepas lebih sebulan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang esok.
Allahyarham Hishamuddin dilantik sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian selama tiga tahun bermula 2003 hingga 2006, berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sukan serta hampir sedekad berkhidmat di Astro Arena.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial