AM

GSF: Kerajaan Sedang Ambil Langkah Melalui Saluran Diplomatik - Fahmi

02/10/2025 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang mengambil beberapa langkah melalui saluran diplomatik bagi memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel awal hari ini ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Wisma Putra sedang menyelaras usaha bagi memastikan pembebasan sukarelawan dan aktivis yang terlibat dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

“Dalam beberapa jam lagi, akan ada pengumuman berhubung langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan. Kita sama sekali menolak dan mengecam tindakan rejim Zionis yang memintas serta menahan peserta GSF di perairan antarabangsa.

“Pelanggaran undang-undang antarabangsa yang sengaja ini sama sekali tidak boleh diterima dan kita akan menyatakan bantahan dalam masa terdekat setelah beberapa perkara diselaraskan antara kementerian-kementerian terlibat," katanya selepas merasmikan 'Seminar on Developing Training Module for Combating Fake News in ASEAN' di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak. 

Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal misi GSF, dengan menegaskan ia menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan