KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan Siri BUDI, sebuah panduan kewangan dalam Bahasa Malaysia yang terdiri daripada empat jilid untuk memperkukuh pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, daripada golongan belia hingga usia persaraan.
Dalam kenyataan, AKPK menjelaskan panduan itu bukan sahaja bertujuan mengajar pengurusan wang malah juga untuk memupuk disiplin, daya tahan dan maruah dalam kehidupan seharian.
“Awal tahun ini, AKPK telah melancarkan siri GROW, iaitu panduan kewangan empat jilid dalam Bahasa Inggeris yang menerima pujian kerana memperkenalkan literasi kewangan melibatkan pencapaian utama dalam kehidupan.
“Kini hadir Siri BUDI. Panduan ini bukan terjemahan langsung (daripada siri GROW), tetapi satu penciptaan semula terjemahan dalam Bahasa Malaysia namun, mengekalkan inti pati ketika disampaikan melalui bahasa, simbol dan semangat Malaysia,” menurutnya.
Majlis pelancarannya berlangsung di Persidangan “Financial Independence & Thriving Families (F.I.T. Life)” 2025 di sini, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata perbincangan mengenai simpanan, perancangan dan daya tahan bukan sekadar nasihat kewangan, malah turut melibatkan usaha memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat.
“Tidak seperti panduan kewangan konvensional, Siri BUDI menekankan wang bukan sesuatu yang bersifat neutral. Setiap keputusan sama ada untuk menyimpan atau berbelanja, untuk merancang atau mengelak, mencerminkan nilai yang lebih besar,” katanya.
Siri BUDI yang mengandungi empat jilid memberi fokus kepada pelajar dan belia, golongan profesional muda, keluarga dan pesara.
Setiap jilid mengetengahkan langkah praktikal seperti menyimpan sejak awal, mengimbangi cita-cita dengan kemampanan, mengurus sumber isi rumah dan merancang persaraan.
Bekas Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Abd Manaf, yang juga merupakan antara penceramah bagi acara dua hari itu, berkata mereka yang berdepan kesukaran kewangan tidak memerlukan simpati atau hukuman, tetapi alat dan peluang yang dapat mengembalikan kebebasan serta harga diri.
“Begitulah kesejahteraan yang berkekalan dibina. Tiada siapa yang membina daya tahan secara bersendirian. Kita semua memerlukan persekitaran dan komuniti yang menyokong serta menjadikan panduan kewangan yang kukuh mudah diakses setiap orang,” katanya.
Seorang lagi penceramah, Dr Mohd Hannan Yusof, seorang doktor yang kini bergelar usahawan, berkata perbelanjaan tanpa nilai hanya akan menimbulkan keresahan, manakala perbelanjaan yang berasaskan pengetahuan akan mengukuhkan kewangan dan kesejahteraan.
“Dikelilingi oleh individu yang memberi nasihat kewangan yang baik juga penting, kerana bimbingan yang tepat membina keyakinan dan daya tahan,” katanya.
AKPK, yang ditubuhkan pada 2006, menyediakan pendidikan kewangan, kaunseling serta perkhidmatan pengurusan hutang kepada individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial