KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama sebagai tanda solidariti dan memohon doa demi keselamatan sukarelawan Malaysia dan seluruh pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata usaha itu susulan perkembangan terbaharu berhubung tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan memintas serta menahan pasukan GSF secara tidak sah.
“Doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Fahmi turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik itu di ruang siber Malaysia.
“Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam,” kata beliau.
Fahmi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan sumber rasmi termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi mengelak penyebaran berita palsu atau tidak sahih.
Setakat 7.50 pagi tadi, dilaporkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan secara tidak sah oleh Israel ketika pelayaran pasukan GSF memasuki zon merah di perairan Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial