AM

Jenazah Bekas Panglima ATM Tun Dr Mohamed Hashim Selamat Disemadikan

01/10/2025 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi di sini, malam ini.

Allahyarham, yang meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat serangan strok di sebuah hospital swasta pada pukul 11.52 pagi tadi, disemadikan kira-kira pukul 10.30 malam dengan penuh istiadat ketenteraan.

Upacara pengebumian Panglima ATM ke-9 itu dihadiri kira-kira 560 pegawai dan anggota ATM, selain disertai istiadat penghormatan peringkat tertinggi.

Pada istiadat berkenaan, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyerahkan Jalur Gemilang kepada anak sulung Allahyarham, Ibrahim Mohamed Hashim, sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti beliau sepanjang perkhidmatan dalam angkatan tentera.

Jenazah Allahyarham disemadikan berhampiran pusara isterinya, Puan Sri Majmim Yahya, yang meninggal dunia pada 21 Mei 2021.

Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta beberapa bekas Panglima ATM, antaranya Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Nor.

Isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga kakak kepada Allahyarham, turut hadir.

Allahyarham meninggalkan tiga anak dan lima cucu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan