DUNIA

Kapal Marinette, Kapal Terakhihr Misi GSF Dipintas Israel

04/10/2025 02:36 AM

SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Harapan untuk melihat Kapal Marinette, iaitu kapal terakhir misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, tidak kesampaian apabila dipintas tentera Israel petang ini. 

Berdasarkan siaran langsung menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), tentera Israel bersenjata dilihat memasuki kapal terbabit pada 3.30 petang (waktu Malaysia).

Marinette sebelum itu dilaporkan sedang belayar dalam zon merah R2 dan berada kira-kira 60 batu nautika dari Gaza sebelum dipintas, dan dengan insiden terbaharu itu kesemua 42 kapal yang menyertai misi GSF menuju ke perairan Gaza telah dipintas sejak awal pagi Khamis.

Sebelum ini, lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Malaysia, Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain dan Perancis.

Flotila GSF membawa pelbagai barangan bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan, belayar sejak akhir Ogos lepas. 

Misi ini ialah kali pertama dalam beberapa tahun kira-kira 50 kapal belayar bersama menuju ke Gaza, dengan membawa ratusan orang awam yang menyokong misi berkenaan.

Israel mengekalkan sekatan terhadap Gaza, yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk, sejak hampir 18 tahun lepas dan memperketat pada Mac lepas dengan menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan, sehingga menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam masalah kebuluran.

Sejak Okt 2023, pengeboman Israel telah meragut nyawa lebih 66,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberikan amaran bahawa wilayah itu semakin tidak dapat didiami, dengan kebuluran dan penyakit merebak pantas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan