KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Negara hari ini kehilangan seorang pemimpin tentera ulung yang bukan sekadar berjaya memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah sentiasa menitikberatkan aspek profesionalisme dalam kalangan anggota.
Bekas Pangliman Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali, 90, yang meninggal dunia hari ini pastinya dikenang sebagai pemimpin Bapa Pemodenan ATM kerana berjaya mengangkat ketumbukan tentera negara di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk melalui pengukuhan kerjasama pertahanan dalam rangka Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan ASEAN.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 11.52 pagi di sebuah hospital swasta di ibu negara, setelah dimasukkan ke unit kecemasan pada Ahad lepas akibat pendarahan di kepala.
Menyingkap sejarah kerjaya Mohamed Hashim, Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh, Perak pada 10 April 1937, membuktikan semangat patriotik yang kental apabila menjadi antara anak watan terawal menimba ilmu ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum pulang dengan penuh tekad untuk berkhidmat dan ditauliahkan ke dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955.
Kerjaya ketenteraan Mohamed Hashim yang gemilang menyaksikan beliau memegang pelbagai jawatan penting dengan penuh tanggungjawab termasuk Panglima Rajang Area Security Command (RASCOM), Panglima 2 Divisyen dan Panglima Tentera Darat sebelum dilantik sebagai PAT kesembilan dari 1987 hingga 1992.
Mohamed Hashim juga sentiasa menekankan aspek profesionalisme dalam kalangan anggota, keberkesanan latihan serta kesiapsiagaan menghadapi ancaman peperangan berteknologi tinggi, pada era dunia menyaksikan transformasi landskap keselamatan selepas berakhirnya Perang Dingin.
Di sebalik ketegasan seorang panglima perang, terselit jiwa seorang perintis keamanan apabila beliau menjadi antara wakil kerajaan yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai pada 2 Dis 1989, detik bersejarah yang menamatkan lebih empat dekad ancaman komunis terhadap keselamatan negara.
Peranan murni beliau itu mengukir nama Allahyarham dalam lipatan sejarah bukan sekadar sebagai panglima yang mempertahankan kedaulatan tanah air, tetapi juga pembawa obor keamanan yang membawa negara menjejak era keamanan berpanjangan.
Setelah menamatkan khidmat pada 1992, semangat berbakti Allahyarham terus menyala dengan aktif menyumbang kepada negara, menerajui sektor korporat sebagai Pengerusi Bumiputra-Commerce Holdings Berhad (kini CIMB) dan turut menceburi bidang pendidikan serta pembangunan belia.
Ketokohan beliau semakin terserlah apabila dilantik sebagai Ketua Eksekutif Sukan Komanwel (SUKOM) 1998 pada 1992, sebelum memegang tampuk Pengerusi Eksekutif temasya berprestij itu dari 1997 hingga 1999.
Di bawah pimpinan penuh dedikasi, Kuala Lumpur berjaya muncul sebagai tuan rumah yang menganjurkan satu daripada edisi Sukan Komanwel paling gemilang dalam sejarah temasya sukan empat tahun sekali itu.
Atas jasa dan sumbangan cemerlangnya, Mohamed Hashim dikurniakan pelbagai anugerah dan darjah kebesaran termasuk Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun pada 2022.
Mohamed Hashim merupakan adik kepada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Allahyarham Mohamed Hashim yang meninggalkan tiga anak dan lima cucu dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi dengan penuh istiadat ketenteraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial