AM

Petronas, Yayasan Petronas Sumbang Lebih RM900,000 Bantu Mangsa Banjir Di Sabah

01/10/2025 07:00 PM

KOTA KINABALU, 1 Okt (Bernama) -- Sumbangan Petronas dan Yayasan Petronas bernilai RM980,000 setakat ini menjadi bukti keprihatinan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab bersama kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri amat menghargai sumbangan syarikat tenaga itu, yang memperlihatkan komitmen tinggi dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela terutama ketika menghadapi bencana banjir.

“Kerajaan negeri berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu kerana sokongan padu seperti ini dapat memastikan bantuan sampai segera dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan bencana daripada Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Safar Untong di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata sokongan sektor swasta, GLC dan NGO itu penting dalam melengkapi usaha kerajaan bagi membantu mangsa banjir di Sabah.

Sementara itu, Siti Ayu dalam kenyataan bersama memaklumkan inisiatif itu sebahagian daripada komitmen berterusan Petronas dalam menyokong kesiapsiagaan dan bantuan bencana di Sabah.

Selain itu, ia juga bagi memastikan bantuan sampai tepat pada masanya apabila diperlukan dan inisiatif itu dirancang secara proaktif setiap tahun bagi menyokong usaha kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir.

Beliau berkata Petronas turut menyerahkan bekalan makanan paket kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan RM10,000 untuk pembelian bahan api bagi operasi bantuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan