AM

1,000 Guru Baharu Ditempatkan Di Sabah Tahun Ini

02/10/2025 06:17 PM

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menempatkan 1,000 orang guru baharu di sekolah-sekolah di Sabah sepanjang tahun ini, melibatkan 315 guru sekolah rendah dan 685 guru sekolah menengah.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPP Datuk Adzman Talib dalam taklimatnya ketika melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Adzman berkata penempatan itu adalah sebahagian daripada keperluan 21,348 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di seluruh negara tahun ini, seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sehingga 30 Jun 2025, kadar pengisian jawatan guru di Sabah mencapai 97.78 peratus, dengan 44,058 guru telah ditempatkan berbanding 45,057 jawatan yang diluluskan di 1,298 sekolah bawah KPM," katanya.

Adzman berkata meskipun kadar pengisian hampir penuh, sekolah-sekolah di Sabah masih berdepan kekurangan guru dan usaha berterusan sedang dijalankan bagi mengatasi jurang berkenaan.

Beliau berkata antara cabaran utama dalam perkhidmatan pendidikan ialah peningkatan jumlah guru yang memilih untuk bersara awal dengan pada tahun lepas, 12,607 guru di seluruh negara bersara awal berbanding 13,192 pada 2023.

"Di Sabah sahaja, sebanyak 947 kes dicatatkan pada 2024 berbanding 813 pada tahun sebelumnya," katanya sambil menambah faktor beban tugas pentadbiran dan tuntutan digitalisasi yang bertindih dikenal pasti antara punca guru meninggalkan profesion lebih awal.

Beliau berkata SPP sedang bekerjasama dengan KPM bagi meneliti penyelesaian menyeluruh untuk memastikan kelestarian tenaga pengajar di sekolah, selain memuji usaha Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Hajiji dalam mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan melalui pelbagai inisiatif.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan terhadap peranan SPP dalam memastikan pelantikan guru yang berwibawa bagi memenuhi keperluan pendidikan negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan