POLITIK

PRN Sabah: STAR, SAPP Bertanding Guna Logo Sendiri

02/10/2025 08:05 PM

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan parti Maju Sabah (SAPP) akan bertanding sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selepas mengesahkan mereka akan menggunakan logo parti masing-masing dan bukan simbol Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti tidak lagi berada dalam GRS susulan keputusan Majlis Tertinggi bahawa mana-mana parti komponen yang bertanding menggunakan logo sendiri tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat malam tadi yang berlangsung hampir dua jam, dipengerusikan Datuk Seri Hajiji Noor dan dihadiri presiden parti komponen.

Beliau berkata Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee memaklumkankeputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan DUN yang juga bakal ditandingi calon PH. Pengerusi GRS (Hajiji) dalam mesyuarat tersebut telah memperingatkan semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama diumumkan bersama PH,” katanya.

Selain STAR dan SAPP, GRS turut dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) , Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Masidi berkata dalam mesyuarat berkenaan, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata dalam semangat perpaduan, GRS seharusnya bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon bertanding menggunakan simbol sama.

Bagaimanapun, beliau berkata Hajiji dan kepimpinan GRS menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo pada PRN akan datang.

“Dengan keputusan dan tindakan tersebut, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat,” katanya.

Masidi berkata mesyuarat itu telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra, ikhlas dan berterus-terang, dan semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan dibuat secara musyawarah, selain tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi sihat dan matang.

“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN Sabah Ke-17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan