SANDAKAN, 29 Sept (Bernama) -- Peniaga tamu desa terutamanya penjual warga emas dari sekitar Pekan Telupid di sini lega kerana dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa selepas naik taraf pasar tersebut.
Justina Gulung, 71, melahirkan rasa syukur kerana tapak tamu kini berbumbung berbanding sebelum ini mereka berniaga di atas jalan dan berpanas di bawah kanopi.
Penjual sayur dan buah-buahan itu berkata keadaan yang selesa itu membolehkan mereka menjual barangan dalam keadaan tenang meskipun pendapatan tidak menentu.
Justina berkata seawal 6 pagi setiap Ahad, dia bersama peniaga lain akan mula membuka tapak jualan dan berniaga sehingga tengah hari.
Menurutnya hasil jualan itu digunakan untuk membeli keperluan harian terutamanya minyak petrol.
Hasil pendapatan katanya meningkat pada musim buah-buahan kerana ketika itu permintaan tinggi berbanding jualan lain seperti sayuran.
“Semasa musim buah-buahan, saya akan menjual buah tarap, langsat, rambutan, cempedak dan durian dalit,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Laimah Limbas, 74, juga bersyukur kerana dapat menjual dalam suasana yang selesa dan tidak perlu berpanas meskipun hanya mampu meraih pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari.
“Macam hari ini saya menjual sayur-sayuran seperti labu putih, halia, peria katak, lada putih, bunga kantan, timun dan juga kepayas (betik),” katanya.
Pada 21 Sept lepas, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Tamu Desa Pekan Telupid yang merupakan antara tapak tamu di bawah Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah dan Sarawak yang memberi manfaat kepada 3,922 peniaga tamu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial