KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan pihak berkepentingan dalam pasaran karbon menggesa kerajaan di seluruh dunia untuk menyelesaikan isu bekalan kredit karbon terhad yang disediakan kepada syarikat penerbangan.
Kredit karbon ini penting bagi membolehkan syarikat penerbangan memenuhi obligasi mereka di bawah Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).
Menurut kenyataan bersama IATA dan pihak berkepentingan semasa Perhimpunan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) ke-42 di Montreal, Kanada pada Isnin, kerajaan digesa mengeluarkan Surat Kebenaran (LoA) yang membolehkan unit pelepasan karbon yang layak di bawah CORSIA (EEU) dikeluarkan dan dibeli oleh syarikat penerbangan.
Pemberian LoA yang tepat pada masanya adalah penting bagi mewujudkan pasaran yang kukuh dan telus untuk EEU CORSIA, memudahkan pelaksanaan CORSIA serta memelihara integriti alam sekitar terhadap komitmen iklim industri penerbangan antarabangsa, katanya.
"IATA mengunjurkan syarikat penerbangan akan memerlukan antara 146 dan 236 juta EEU semasa fasa pertama CORSIA (2024-2026). Bagaimanapun, bekalan semasa bagi unit yang layak CORSIA terhad kepada 15.8 juta kredit yang disediakan oleh Guyana," katanya.
LoA adalah dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh negara tuan rumah untuk membenarkan penggunaan kredit karbon (dikenali sebagai Hasil Pengurangan yang Dipindahkan Secara Antarabangsa atau ITMO) bagi pematuhan CORSIA, menurut peruntukan Artikel 6 Perjanjian Paris.
Surat kebenaran ini mengesahkan bahawa pengurangan pelepasan karbon yang dikaitkan dengan kredit karbon akan dikira sekali sahaja di bawah skim CORSIA, yang memerlukan negara tuan rumah melaksanakan "pelarasan sepadan" ke atas Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) mereka.
Tanpa LoA, syarikat penerbangan akan mengalami kekurangan unit yang layak CORSIA sekali gus memberi kesan kepada pelaksanaan skim CORSIA dan menjejaskan pemaju projek daripada menerima dana syarikat penerbangan sebagai sumber pembiayaan iklim.
Menurut kenyataan itu, IATA telah menerbitkan dokumen panduan dan menawarkan alat serta bengkel praktikal bagi membantu negara-negara mengeluarkan LoA.
CORSIA adalah skim bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida untuk industri penerbangan global.
Malaysia menyertai CORSIA secara sukarela bersama-sama 104 negara lain sejak Julai 2022 selain turut terlibat dalam usaha untuk menyenaraikan biojisim sawit sebagai sebahagian daripada Kriteria Bahan Api Layak CORSIA pada 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial