DUNIA

Konvoi Bantuan Antarabangsa Hampiri Gaza Cuba Tembusi Sekatan Israel

29/09/2025 09:22 PM

ISTANBUL, 29 Sept (Bernama-Anadolu) -- Sebuah konvoi bantuan antarabangsa kini menghampiri Semenanjung Gaza dalam usaha menembusi sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu, menurut penganjur pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

"Kami kini berada 570 kilometer (307.7 batu nautika) dari Gaza," kata Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Sekatan ke atas Gaza menerusi platform media sosial X.

Tony La Piccirella, seorang aktivis Itali daripada Flotila Sumud Global  berkata dalam satu kenyataan video bahawa pada Selasa mereka akan tiba di kawasan yang sebelum ini kapal bantuan Madleen dan Handala telah dipintas tentera laut Israel dalam cubaan membawa masuk bantuan kemanusiaan.

Pada 26 Julai lepas, tentera laut Israel memintas kapal bantuan Handala ketika menghampiri pantai Gaza dan mengiringinya ke Pelabuhan Ashdod. Kapal itu ketika itu berada kira-kira 70 batu nautika dari Gaza, melepasi jarak yang dicapai kapal Madleen, iaitu 110 batu nautika sebelum turut disekat.

Sekumpulan aktivis menyertai Flotila Sumud Global dari Mediterranean pada Isnin, manakala dua lagi bot menyertai dari Pentadbiran Greek Cyprus dan Turkiye.

Kapal terbesar dalam konvoi itu dijadual belayar pada Selasa dengan membawa 100 orang di atasnya, kata La Piccirella.

Beliau berkata selain kapal tentera laut Itali dan Sepanyol yang mengiringi flotila itu, tiga lagi negara sedang mempertimbangkan untuk menghantar kapal tentera, namun tidak mendedahkan nama negara berkenaan.

“Jadi ia semakin besar. Dan ini bukan tentang kami, bukan hanya Flotila Sumud Global. Ia umpama sebuah gerakan dengan ratusan orang di laut dan jutaan orang di darat, dan ia tidak akan dapat dihentikan sehingga sekatan itu berakhir,” katanya.

Flotila Sumud Global yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal berlepas awal bulan ini untuk menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke wilayah yang dilanda perang itu.

Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan masuk Gaza, menyekat penghantaran makanan dan konvoi bantuan sehingga memburukkan lagi keadaan kebuluran di wilayah itu.

Tentera Israel telah membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023.

Serangan berterusan telah menjadikan wilayah itu tidak boleh didiami serta menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan