KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membebaskan bekas pegawai kanan anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor daripada pertuduhan menggunakan jawatan untuk mencadangkan lantikan terus sebuah syarikat bagi kontrak bernilai lebih RM1.7 juta pada Mac 2020.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mazlan Mahadi, 54.
"Keterangan saksi pendakwaan kedua iaitu Mohamad Hafiz Hassan jelas menunjukkan bahawa AWS yang mencadangkan syarikat MMSC Ventures Sdn Bhd untuk projek tersebut... oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.
Mazlan didakwa menggunakan jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd (SSDU Innovations) untuk mencadangkan lantikan terus kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy and Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM1,797,865.58.
Syarikat MMSC Ventures Sdn Bhd adalah milik saudaranya dengan tertuduh mempunyai kepentingan, dan kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat SSDU Innovations di Petaling pada 25 Mac 2020 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala Mazlan diwakili peguam Datuk Seri K. Kumaraendran dan Teh See Khoon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial