AM

Tiada Bot Global Sumud Flotilla Tarik Diri - Nadir Al- Nuri

27/09/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Tiada kapal atau bot menyertai misi Global Sumud Flotilla yang dalam pelayaran ke Gaza menarik diri setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. 

Beliau yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata bagaimanapun terdapat kapal atau bot yang tidak dapat belayar kerana rosak akibat disabotaj.

“Indonesia pula tarik diri untuk beri ruang kepada delegasi lain sejak di Tunisia lagi,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi berkenaan sebelum ini dilaporkan berkata misi flotila itu sudah tiba di selatan perairan Greece, melibatkan hampir 30 bot.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara diterajui Muhammad Nadir Al-Nuri.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata misi GSF yang kini memasuki hari ke-27 pelayaran terus bergerak menuju Gaza meskipun berdepan cabaran teknikal dan gelombang perang propaganda.

Beliau berkata kapal flotila kini berada di perairan Greece serta belum memasuki zon kuning dan semua delegasi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

“Tiada laporan rasmi aktiviti dron direkodkan semalam. Insiden terakhir adalah serangan bom bunyi oleh 15 dron pada 22 Sept,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan insiden tersebut, katanya kerajaan Itali dan Sepanyol telah menghantar dua kapal tentera bagi membantu mengawal keselamatan di perairan Mediterranean, selain kawalan turut dipertingkat oleh pengawal pantai Greece.

Sani Araby berkata terdapat beberapa kapal termasuk Family Madiera mengalami kerosakan, namun pasukan teknikal telah digerakkan untuk kerja-kerja pembaikan segera selain penstrukturan semula kedudukan peserta di bot bagi memastikan keselamatan dan kelancaran misi.

“Sehingga kini, tiada bot yang menarik diri daripada misi. Terdapat beberapa kapten dan kru kapal yang menarik diri namun perkara ini telah dijangka. Sekretariat flotila telah mengantikan kapten dan kru yang terlatih,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak merujuk SNCC sebagai sumber sahih misi memandangkan pelbagai naratif propaganda dimainkan ketika ini untuk menimbulkan ketakutan serta melemahkan semangat delegasi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan