KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keberanian serta usaha terkoordinasi aktivis antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, yang menyertai Global Sumud Flotilla dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menyifatkannya sebagai pendirian tegas menentang penindasan dan simbol solidariti global bersama Palestin.
Beliau berkata penglibatan individu daripada pelbagai negara mencerminkan tanggungjawab bersama masyarakat dunia dalam mencabar keganasan serta keganasan yang ditaja negara dan memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
“Tindakan berani individu yang menyertai flotila ke Gaza melambangkan pendirian tegas menentang penindasan serta solidariti padu bersama rakyat Gaza.
“Penyertaan aktivis antarabangsa, termasuk dari Malaysia, menegaskan pentingnya tanggungjawab global yang dikongsi bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Anwar berkata genosid berterusan yang dilakukan Israel bukan sahaja pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, malah turut melemahkan keselamatan sosial global, kerana ia menghakis hak rakyat untuk hidup selamat, bermaruah dan mendapat akses kepada perkhidmatan asas.
Beliau menegaskan, sikap berdiam diri terhadap kekejaman itu hanya akan menjadikan perbincangan antarabangsa mengenai keselamatan sosial sekadar “kosong dan tidak bermakna”, sebaliknya, menuntut wacana yang berteraskan prinsip keadilan serta maruah insan.
“Konsistensi Malaysia dalam mengecam pendudukan Zionis dan kolonialisme penempatan di Palestin adalah bukti komitmen kita terhadap keadilan. Ia melangkaui sempadan negara, memperkukuh hakikat bahawa solidariti dalam gerakan sosial adalah penting,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa wacana berkesan mengenai keselamatan sosial dunia mesti mengiktiraf serta mengintegrasikan realiti tersebut.
“Apa yang kita perlukan kini ialah visi baharu yang mencerminkan realiti semasa dan mempersiapkan kita menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Seramai 34 rakyat Malaysia adalah antara aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza bagi memecahkan sekatan ke atas wilayah itu, tetap tabah meskipun berdepan halangan dan ancaman termasuk serangan dron.
Malaysia merupakan negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf misi tersebut melalui sokongan Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial