KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terbuka serta menyambut baik segala cadangan serta teguran membina untuk penambahbaikan rang undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata setiap saranan bernas wajar diambil kira bagi manfaat semua pihak, terutamanya dalam menjamin serta melindungi hak dan kepentingan semua pemilik asal rumah yang terlibat.
“Kerajaan sentiasa peka dan mengalu-alukan pandangan yang membina. Cuma kita tak mahu ada pihak mengambil kesempatan “menangguk air keruh” untuk mencari kesempatan modal politik.
“Itu tidak dialu-alukan. Kita mahukan politik membina dan menolak politik yang membinasakan. Jika ada pandangan (yang baik berkaitan RUU PSB), kami alu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandar Mampan Kelas Dunia (WCSC) ke-16 di sini hari ini.
Sebelum ini, perbahasan rang undang-undang PSB 2025 ditunda ke mesyuarat akan datang dan menurut takwim Dewan Rakyat di laman Parlimen, mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun ini dijadualkan bermula 6 Okt hingga 4 Dis.
Selain itu, Nga berkata Kerajaan MADANI komited dan cakna untuk memastikan setiap pembangunan semula melibatkan tujuh ikonik warisan negara yang dijangka siap tidak lama lagi, tidak mengenepikan nilai warisan.
“Kerajaan tahun ini sudah belanja RM700 juta untuk menghidupkan semula tujuh lambang kebanggaan negara kita antaranya Carcosa Seri Negara, Muzium Tekstil, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Pejabat Pos Lama Kuala Lumpur,
“Tujuh ikonik ini bakal mendapat wajah baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan ini adalah testimoni terbaik, iaitu apabila kita melakar pembangunan, yang tidak pernah kita lupakan ialah sejarah, warisan, budaya, nusa dan bangsa kita,” katanya.
Sementara itu, Nga dalam ucapannya berkata Malaysia selaku Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bersedia untuk belajar, berkongsi serta bekerjasama dengan rakan sejawat di peringkat global bukan sahaja bagi memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab inovasi bandar mampan tetapi juga untuk sama-sama membentuk dunia yang lebih pintar dan lestari.
“Kita berhasrat untuk mengintegrasikan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) ke dalam proses Persidangan Para Pihak (COP) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), bagi memperkukuh peranan bandar dan wilayah.
“NUA menawarkan rangka kerja komprehensif dan sah untuk menghubungkan aspirasi iklim global dengan transformasi di peringkat tempatan, melalui peningkatan adaptasi dalam perkhidmatan setempat serta menggerakkan pembiayaan di peringkat tempatan bagi menyokong pelaksanaan projek transformasi,” katanya.
Mengenai WSCS 2025 bertemakan Resilient Cities, Living Heritage, Nga berkata tema itu bukan sahaja menekankan aspek memperkukuh infrastruktur, malah turut memberi tumpuan kepada usaha memelihara warisan, identiti serta nilai kemasyarakatan.
“Jadikan persidangan ini sebagai seruan bersama supaya pembuat dasar menitiberatkan aspek ketahanan dan warisan dalam setiap dasar bandar, pihak industri memastikan kelestarian serta identiti budaya sebagai teras setiap projek pembangunan, manakala masyarakat terus memelihara warisan sebagai roh yang menghidupkan bandar kita,” katanya.
WCSC 2025 menumpukan kepada pembinaan bandar lestari dan berdaya maju dengan menggabungkan ketahanan serta pemuliharaan warisan budaya, disertai sesi ucaptama, perbincangan panel serta peluang jaringan memperkukuh kerjasama antara tokoh perancang bandar dan pemimpin kota.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial