AM

Sultan Kelantan Bimbang Pengaruh Global, Titah Perkukuh Nilai Murni Dan Adab

29/09/2025 08:54 PM

KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan kebimbangan dengan situasi masyarakat kini yang terdedah kepada pelbagai pengaruh global serta media sosial yang kadangkala mencetuskan salah faham dan perpecahan.

Baginda bertitah usaha memperkukuh nilai kesantunan, hormat-menghormati dan adab dalam berbahasa perlu sentiasa diperkasakan. 

"Hal ini penting agar masyarakat, khususnya generasi muda terus berpegang pada nilai murni budaya bangsa, meskipun berdepan dengan arus globalisasi yang mencabar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia bersempena dengan Hari Keputeraan baginda yang ke-56 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Sementara itu, baginda juga berasa sukacita dengan perkembangan positif menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 melalui pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau yang sedang giat dilaksanakan. 

"Perhatian perlu diberikan kepada aspek penting termasuk pengurusan aliran trafik dan keselamatan di kawasan berkenaan," titah Sultan Muhammad V.

Sehubungan dengan itu, baginda menyeru agar kerajaan Persekutuan dapat mempercepat penyediaan infrastruktur jalan penghubung ke kompleks berkenaan, termasuk projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama serta penaiktarafan dan pembinaan jalan-jalan susur ke kompleks sukan itu.

"Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri serta penjawat awam negeri dan Persekutuan yang telah bersama-sama mencurahkan idea, tenaga dan komitmen dalam melaksanakan amanah demi kemajuan dan keharmonian Kelantan yang dikasihi ini.

"Beta menyeru rakyat sekalian supaya sama-sama berdoa kepada Allah memohon rahmat-Nya semoga Kelantan sentiasa dilimpahi kemakmuran dan keberkatan yang berpanjangan, dijauhkan daripada segala malapetaka dan bencana, serta dikekalkan keamanan dan kesejahteraan di bawah pemeliharaan serta perlindungan-Nya," titah baginda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan