EKONOMI

MITI Lancar Pelan Hala Tuju Keluli 2035 Bagi Menyusun Semula Industri

29/09/2025 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 (SIR2035) yang menyediakan “pendekatan berperingkat” bagi menstabilkan, menyusun semula dan mentransformasi industri keluli Malaysia.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelan hala tuju itu menggariskan 15 strategi utama, dengan strategi berfasa bagi menyelesaikan aspek kapasiti berlebihan, memperkukuh daya tahan serta menyusun semula industri ke arah pertumbuhan mampan selaras dengan trend penyahkarbonan global.

“SIR2035 meliputi 15 strategi utama melalui tiga fasa. Dalam jangka masa terdekat (dua tahun akan datang), tumpuannya adalah kepada penstabilan -- menguruskan lebihan kapasiti, menyusun semula kerangka pelesenan serta menguatkuasakan tindakan terhadap pengusaha tidak sah di samping mendapatkan bekalan bahan mentah domestik dan meletakkan asas bagi penyahkarbonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SIR2035 serta Persidangan Pembuat Dasar ASEAN mengenai Keluli, dan Forum Besi dan Keluli ASEAN 2025 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata pelan hala tuju itu akan beralih kepada fasa transformasi antara 2027 hingga 2035 dengan memacu mekanisme karbon, membangunkan infrastruktur dan piawaian pengeluaran karbon rendah serta melabur semula dalam teknologi baharu bagi membina keupayaan.

“Selepas 2035, sasarannya untuk menjadikan sektor keluli hijau sepenuhnya menjelang 2050, dengan menggerakkan tenaga kerja dan modal bagi memastikan industri keluli Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan sejajar dengan komitmen sifar bersih,” katanya.

Beliau berkata SIR2035 juga adalah seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan aspirasi sifar bersih menjelang 2050.

Menurutnya Malaysia mengalami ketidakseimbangan yang ketara antara penawaran dan permintaan dalam industri keluli, dengan unjuran menunjukkan kapasiti huluan domestik boleh mencecah 40.8 juta tan menjelang 2030 manakala permintaan domestik berjumlah 14.7 juta tan.

“Jurang ini memperlihatkan masalah lebihan kapasiti -- aset tidak digunakan sepenuhnya, pulangan pelaburan yang rendah serta kemerosotan daya saing dan daya tahan pasaran.

“Industri keluli juga adalah antara industri paling intensif karbon di Malaysia, mendedahkan kami kepada cabaran kawal selia pasaran dan menjadikan penyahkarbonan sebagai satu keperluan dari segi alam sekitar dan ekonomi,” katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan bahawa permintaan keluli di ASEAN semakin meningkat, dengan penggunaan nyata di ASEAN-6 mencecah 74 juta tan pada 2023, hampir kepada paras tertinggi prapandemik iaitu 80 juta tan pada 2018 hingga 2019.

Bagaimanapun, industri ini berdepan cabaran besar apabila terdapat lebih 600 juta tan kapasiti pengeluaran keluli berlebihan di peringkat global, yang sebahagian besarnya menyasarkan pasaran ASEAN manakala permintaan keluli serantau dijangka mencapai 80 juta tan menjelang 2025.

“Namun, situasi ini belum mencapai tahap yang diharapkan. ASEAN mengalami lebihan bekalan bagi produk keluli panjang dan pada masa sama kekal bergantung kepada import untuk produk keluli rata. Ketidakseimbangan ini menjejaskan pasaran dan menyebabkan industri keluli ASEAN lebih terbeban,” katanya.

Tengku Zafrul berkata cabaran ini menjadi lebih rumit dengan pengenalan peraturan baharu berkaitan penyahkarbonan dan obligasi keluli hijau serta amalan tidak adil seperti lambakan dan pemunggahan.

“Cabaran tarif termasuk tarif Seksyen 232 oleh Amerika Syarikat ke atas keluli dan aluminium akan turut memberi kesan besar kepada pengeluar utama ASEAN,” katanya.

Pada masa hadapan, Tengku Zafrul berkata Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan ASEAN untuk menjadikan rancangan sebagai pencapaian dan aspirasi sebagai tindakan, membangunkan industri keluli yang berdaya saing, adil dan bersedia untuk masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan