EKONOMI

Malaysia Rumus Pelan Tindakan Ekonomi Biru Di Bawah RMK13 - Hanifah Hajar

29/09/2025 05:06 PM

KOTA KINABALU, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang merumuskan Pelan Tindakan Ekonomi Biru, satu rangka kerja komprehensif untuk menyelaraskan dasar, strategi dan pelaburan merentas sektor berkaitan dengan laut dan pantai.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13), pelan pembangunan lima tahun negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenal pasti Ekonomi Biru sebagai keutamaan negara dan menggariskan pendekatan holistik untuk memanfaatkan potensinya.

Beliau berkata inisiatif itu termasuk mengukuhkan tadbir urus kawasan pantai dan laut, meningkatkan industri strategik seperti akuakultur, perkapalan hijau dan tenaga lautan boleh baharu, dan memelihara biodiversiti melalui kawasan perlindungan marin dan pengurusan pantai berasaskan komuniti.

“Kami berharap pelan tindakan ini juga akan menyumbang kepada aspirasi kolektif ASEAN, menjadi model bagi pelaksanaan peringkat kebangsaan yang melengkapkan Rangka Kerja Ekonomi Biru ASEAN,” katanya menerusi ucaptama beliau pada Forum Ekonomi Biru ASEAN ke-3 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Forum sehari itu yang bertemakan “Menggiatkan Ekonomi Biru”, disertai penggubal dasar, pegawai kanan, pakar, pemimpin industri, ahli akademik dan wakil masyarakat  dari seluruh negara anggota ASEAN.

Hanifah Hajar berkata forum itu menyediakan platform kepada negara anggota ASEAN untuk bertukar-tukar pengetahuan, mengukuhkan perkongsian dan merangka laluan kerjasama untuk memastikan Ekonomi Biru memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan mampan di seluruh rantau.

Menurutnya, Ekonomi Biru mempunyai potensi yang sangat besar, merangkumi pelancongan marin dan akuakultur yang mampan, tenaga lautan boleh baharu dan logistik maritim yang lebih hijau dan cekap.

  "Jika dibangunkan secara mampan, peluang ini boleh memanfaatkan enjin pertumbuhan baharu untuk ekonomi kita dan memberikan manfaat yang berterusan kepada rakyat kita. Memajukan Ekonomi Biru akan menjamin perlindungan alam sekitar dan kemakmuran bersama," katanya.

Beliau berkata pengukuhan Ekonomi Biru juga berpotensi dapat mengecilkan jurang pembangunan dan menggalakkan keterangkuman, kerana kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan pantai dan pulau di ASEAN sangat bergantung kepada lautan.

 Melalui perikanan mampan, eko-pelancongan, pengurusan diterajui komuniti dan pembangunan kemahiran, inisiatif Ekonomi Biru boleh meningkatkan komuniti rakyat tempatan, memperkasakan perniagaan kecil dan memupuk pertumbuhan yang lebih saksama, katanya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Hanifah Hajar berkata, Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, akan terus memajukan Ekonomi Biru sebagai tonggak penentu kerjasama serantau.

Beliau menekankan hanya melalui kerjasama yang lebih erat ASEAN boleh memanfaatkan potensi penuh ekosistem laut, pantai dan marinnya, serta sumber air tawa di kawasan pedalaman, untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan.

Perbincangan forum tertumpu kepada pembiayaan dan pelaburan ekonomi biru, inovasi sains dan teknologi, pembangunan tenaga kerja dan kepentingan perkongsian ASEAN yang lebih kukuh.

“Kementerian Ekonomi mengesahkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan semua rakan ASEAN bagi memupuk kolaborasi, mengubah dialog menjadi tindakan dan memajukan visi bersama bagi Ekonomi Biru yang berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk generasi semasa dan akan datang,” kata kenyataan itu.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan