JENAYAH & MAHKAMAH

Tunggakan Cukai Pendapatan RM4.1 Juta: Penggulungan Bina Puri Didengar 27 Nov

29/09/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 27 Nov ini untuk mendengar petisyen kerajaan bagi penggulungan syarikat Bina Puri Sdn Bhd, yang didakwa gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM4.1 juta bagi Tahun Taksiran 2016.

Peguam Hasil Muhammad Syafiq Muhamad Sharif, yang mewakili kerajaan berkata tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Raja Rozela Raja Toran, semasa pengurusan kes secara sidang video hari ini.

“Tarikh 27 Nov ditetapkan untuk mendengar keputusan sama ada syarikat Bina Puri akan digulungkan atau pihak-pihak akan mencapai penyelesaian,” kata Muhammad Syafiq ketika dihubungi media selepas prosiding.

Kerajaan, selaku pempetisyen yang memfailkan petisyen pada 23 Jun lepas, mendakwa Bina Puri berhutang sebanyak RM4,199,439.96 bagi tunggakan cukai Tahun Taksiran 2016, termasuk kenaikan cukai.

Tunggakan itu berdasarkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang e-C) yang dilaporkan sendiri oleh syarikat pada 30 Ogos 2017.

Menurut pempetisyen, satu Notis Tuntutan Bayaran telah diserahkan kepada Syarikat Bina Puri pada 20 Jan 2025, namun syarikat gagal mematuhi kehendak notis dalam tempoh 21 hari dari tarikh serahan.

Disebabkan kegagalan itu, responden dianggap tidak mampu untuk membayar hutangnya menurut subseksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016.

Sehubungan itu, pempetisyen memohon agar responden digulungkan di bawah subseksyen 465(1)(a) Akta Syarikat 2016 kerana tidak membayar hutang, serta memohon agar Pegawai Penerima dilantik sebagai Pelikuidasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan