KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan empat hari bermula 27 April tahun depan bagi perbicaraan kes dua lelaki warga China atas dua pertuduhan mengambil gambar dari udara menggunakan dron di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Hakim Izralizam Sanusi menetapkan 27 hingga 30 April 2026 sebagai tarikh perbicaraan selepas dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi dan peguam S. Rubanyah yang mewakili Li Luorong, 26, dan Chen Junhao, 19.
Terdahulu, Faizah Khalilah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beberapa dokumen penting berhubung kes itu masih belum diperoleh.
“Dokumen itu membabitkan pengisytiharan MINDEF sebagai kawasan larangan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan Jabatan Arah Angkatan Tentera Malaysia (JHA) berhubung perimeter keselamatan.
“Oleh itu, pihak pendakwaan memerlukan kira-kira dua minggu untuk mendapatkan dokumen berkenaan,” katanya semasa sebutan kes itu. Perkara itu tidak dibantah oleh peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan kes.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua warga China itu didakwa bersama-sama dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara iaitu mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan, tanpa kebenaran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang bola B MINDEF, Jalan Padang Tembak di sini pada 11.50 pagi, 6 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa pada lokasi, tarikh dan masa yang sama, mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial