KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Penyerang sensasi negara Faizal Saari menjadi sandaran utama Terengganu dalam misi mempertahankan kejuaraan hoki Piala Tun Abdul Razak yang membuka tirai Rabu ini.
Jurulatih Terengganu Mohd Harfizi Baharom berkata pengalaman luas pemain berusia 34 tahun itu amat ditagih selepas pasukannya kehilangan enam tonggak, iaitu empat dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan manakala dua lagi bersama skuad remaja.
Antara yang tidak dapat bersama pasukan kali ini ialah pemain tengah Mohammad Fitri Saari, Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee.
"Kalau ikutkan memang kita tahu kualiti Fitri apabila dia bersama pasukan dan kekurangan di bahagian tengah akan memberi kesan tetapi kita tambah baik dengan pemain sedia ada.
"Insya-Allah, kita harapkan pengalaman dan pencapaian yang Faizal ada sebelum ini dapat bantu pemain muda dalam skuad," katanya kepada pemberita pada sidang media Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Faizal muncul penjaring terbanyak edisi 2024 selepas membantu Terengganu menewaskan Johor 2-1 untuk merangkul kejuaraan.
Edisi ke-63 kali ini menyaksikan 13 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita berentap merebut gelaran juara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial