AM

TH Anjur Program Penjagaan Pantai, Surau Perkukuh Usaha Kelestarian

29/09/2025 12:19 PM

KUALA TERENGGANU, 29 Sept (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Program Penjagaan Pantai dan Surau di Pantai Pandak, di sini, bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar selain menyantuni masyarakat setempat.

Program julung kali itu mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu serta Geng Plastik Ija, dengan penyertaan kira-kira 500 peserta termasuk komuniti setempat.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad, berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha TH memupuk semangat sukarelawan, sekali gus menyampaikan mesej bahawa menjaga kebersihan alam sekitar adalah sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab bersama.

"Kami sentiasa mendukung program atau inisiatif kelestarian. Sebagai sebuah institusi Islam, kami amat menyokong inisiatif melibatkan masyarakat khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kelestarian, sama ada menjaga kebersihan surau atau pantai agar manfaatnya dapat dikongsi bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program berkenaan yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Jusman Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mustakim berkata program itu adalah sebahagian daripada komitmen tahunan TH dalam mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan nilai Islam termasuk lima prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen TH bukan sahaja dalam menguruskan ibadat haji, malah sebagai sebuah institusi Islam yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan ekosistem," katanya.

Beliau turut memaklumkan program itu dirancang dijadikan acara tahunan dan akan diperluaskan ke negeri lain pada masa hadapan.

"Insya-Allah, tahun depan kita akan ke Perak dan setiap tahun kita akan memilih negeri lain supaya program ini dapat diteruskan, bukan hanya terhenti pada satu tahun atau satu lokasi sahaja," katanya.

Sementara itu, Jusman berkata selain kebersihan pantai, penyelenggaraan surau turut diberi penekanan kerana ia merupakan kemudahan asas penting untuk orang ramai.

“Terengganu yang diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia kini menerima kehadiran pengunjung yang semakin meningkat. Program sebegini amat signifikan kerana bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar malah memperkukuh imej negeri sebagai destinasi pelancongan yang indah, mesra dan harmoni,” katanya.

Program sehari itu turut merangkumi pelbagai aktiviti antaranya gotong-royong di Pantai Pandak, penanaman pokok sempena majlis pelancaran serta kerja penyelenggaraan di Surau Haji Awang, Kampung Pantai Pandak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan