MUAR, 27 Sept (Bernama) -- Lebih 5,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Kompleks Sukan Pagoh di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata karnival itu dianjurkan untuk meraikan ilmu sains, teknologi, inovasi dan keusahawanan, sekali gus mendekatkan masyarakat dengan bidang berkenaan.
Beliau berkata penganjuran MSN bukan hanya untuk pakar inovasi dan teknologi, sebaliknya turut memberi manfaat kepada murid sekolah, mahasiswa, usahawan kecil, ibu bapa dan seluruh lapisan masyarakat.
“Melalui MSN ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kerajaan Negeri Johor mahu menunjukkan bahawa sains dekat dengan kehidupan seharian. Jika kita faham dan kuasai sains, kita boleh menjadi lebih kreatif, inovatif dan berjaya.
“Pemilihan Johor sebagai tuan rumah MSN Zon Selatan juga merupakan pengiktirafan terhadap usaha negeri ini yang giat memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu.
Aznan berkata antara inisiatif yang giat dilaksanakan kerajaan negeri ialah Johor Skills Hub (pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) & STEM), program pengkodan dan robotik di sekolah serta kerjasama dengan universiti.
“Kerajaan negeri juga komited membangunkan bakat tempatan secara inklusif dan berterusan agar bersedia menerajui transformasi teknologi serta ekonomi masa depan, termasuk pendedahan teknologi kecerdasan buatan (AI) di sekolah, mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya MOSTI menubuhkan Pusat Sains Negara di Johor sebagai rujukan dan medan memperkenalkan ilmu sains kepada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata pihaknya sedang berusaha memperluaskan akses sains dan teknologi kepada segenap lapisan masyarakat.
Beliau mengakui pusat dan pameran sains ketika ini masih terhad, namun MOSTI bersedia mempertimbangkan cadangan kerajaan Johor untuk diteliti dalam perancangan akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial