PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Penyiar di Malaysia melihat teknologi penyiaran 5G sebagai satu kemajuan yang memberangsangkan untuk meluaskan siaran televisyen terestrial digital (DTT) ke platform mudah alih, mempertingkat pengalaman penonton serta mewujudkan peluang penjanaan pendapatan baharu.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi MYTV Broadcasting Sdn Bhd Syaffandi Shahrom berkata konsep berkenaan amat berpotensi untuk digunakan terutamanya untuk ujian siaran langsung, amaran kecemasan segera dan penyebaran kandungan secara besar-besaran, namun menekankan kepentingan ketersediaan kemudahan infrastruktur.
“Sekiranya kita hendak beralih daripada infrastruktur sedia ada kepada penyiaran 5G, ia memerlukan penambahbaikan yang ketara serta pelaburan besar untuk menaik taraf sistem.
“Oleh itu, ia bukan sekadar peralihan plug-and-play atau pasang dan pakai. Kita perlu benar-benar bersedia dari segi kesiapsiagaan operasi,” katanya ketika menjadi panelis dalam sesi bertajuk ‘From Infrastructure to Revenue: Realising 5G Broadcast in Malaysia’ pada Persidangan Penyiaran 5G anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Syaffandi berkata Malaysia telah memiliki platform transmisi terestrial dengan kira-kira 8.1 juta penonton dan sistem DTT sedia ada boleh dimanfaatkan untuk penyiaran 5G.
“Namun, saya ingin mengulangi sekali lagi betapa pentingnya untuk meneliti secara menyeluruh ekosistem platform penyiaran 5G. Perkara utama ialah keserasian peranti, sama ada peranti berkenaan sudah bersedia. Pada masa sama, kita juga perlu bertanya sama ada pengeluar chipset sudah bersedia untuk menyokong penyiaran 5G secara meluas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kejuruteraan Digital Interaktif Radio Televisyen Malaysia (RTM) Amiruddin Jemaat berkata DTT akan kekal sebagai tunjang utama operasi digital stesen penyiar negara itu.
“Penyiaran 5G adalah lanjutan daripada DTT, jadi ia sangat sesuai dengan cara orang menonton pada masa ini. Kami memperluas DTT ke segmen baharu iaitu platform mudah alih, dengan ramai pengguna kini mengakses kandungan menggunakan peranti mudah alih. Oleh itu, ini adalah peluasan yang sangat selaras dan seimbang,” katanya.
Beliau turut menekankan liputan dan kebolehoperasian dengan DTT adalah keutamaan utama.
“Melalui infrastruktur berkuasa tinggi, kami mahu memastikan liputan yang meluas dan kukuh kerana kami berhasrat menjangkau sebahagian besar rakyat dengan kebolehoperasian DTT,” katanya.
Amiruddin berkata teknologi penyiaran 5G juga akan membolehkan RTM mengukuhkan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan awam, khususnya dalam penyiaran amaran kecemasan.
Timbalan Naib Presiden Transmisi Penyiaran Astro S. Thevan turut senada bahawa teknologi berkenaan menawarkan peluang untuk menjana pendapatan baharu dan meningkatkan pengalaman penonton, khususnya melalui “venue casting.”
“Venue casting memberikan kelebihan dalam menjana pendapatan bagi penyiar seperti Astro. Contohnya, ketika berlangsung acara besar seperti perlawanan bola sepak di stadium atau hiburan seperti konsert,” katanya.
Beliau berkata peluang untuk menjana pendapatan merangkumi pengiklanan bersasar, akses kandungan premium seperti pandangan kamera 360 darjah dan kamera pengadil, selain penggabungan penajaan dengan liga sukan.
“Hal ini membolehkan kami memahami tingkah laku pelanggan untuk meningkatkan jualan, memberi nilai tambah kepada kandungan kami, serta memperoleh pandangan yang lebih mendalam mengenai kehendak mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Thevan berkata keserasian peranti dan tahap kesedaran pengguna amat penting bagi memastikan penggunaan penyiaran 5G diterima baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial