KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 akan mula menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula tengah malam ini.
Pelaksanaan bagi kumpulan kedua ini menyusuli kejayaan fasa pertama yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang setakat tengah hari tadi berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan hari pertama itu turut bertindak sebagai ujian tekanan terhadap keupayaan sistem dan stesen minyak yang telah membuat persediaan menjelang penggunaan lebih meluas pada Selasa ini.
Inisiatif subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Sept lepas itu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan secara mendadak.
Selepas penerima STR, ia akan diperluas kepada kira-kira 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 Sept ini.
Anwar sebelum ini berkata subsidi bersasar itu adalah hasil daripada usaha tadbir urus yang baik serta pembersihan amalan ketirisan kewangan negara.
Beliau berkata usaha itu dapat direalisasikan atas tekad Kerajaan MADANI dalam memastikan negara ditadbir secara telus, mengamalkan pengurusan kewangan berhemah dan membanteras rasuah.
Menurut Anwar, semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif akan secara automatik layak menikmati manfaat BUDI95.
“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia. Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” jelasnya.
Setiap rakyat Malaysia yang layak akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan berkenaan dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial