SHAH ALAM, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor menguruskan lebih 11,000 MyKad sejak awal bulan ini dalam memastikan orang ramai tidak terlepas untuk menikmati subsidi petrol di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Pengarah JPN Selangor Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata sejak inisiatif itu diumumkan, kadar permohonan untuk memperbaharui MyKad menunjukkan peningkatan dan pihaknya telah menguruskan sebanyak 850 kes membabitkan masalah cip.
"Hari ini kesemua urusan berjalan dengan lancar dan pihak kami sudah bersedia dengan 11 kaunter urusan tidak termasuk kaunter tambahan bagi urusan saringan cip di JPN cawangan Plaza Masalam, Seksyen 9 di sini.
"Berdasarkan data menyeluruh untuk bulan September, kami telah menguruskan lebih 11,000 MyKad meliputi permohonan, rosak, penggantian dan hilang di seluruh Selangor," katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi JPN cawangan Plaza Masalam di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir kerana statistik juga menunjukkan JPN Selangor berjaya menguruskan hampir 99 peratus urusan berkaitan MyKad dalam hari yang sama, kecuali membabitkan urusan terpencil.
Muhammad Hafiz berkata rata-rata pemohon yang datang ke JPN di Plaza Masalam boleh pulang dengan MyKad baharu dalam masa hanya 30 minit bergantung kepada jumlah pengunjung.
"Kami cuba menyelesaikan setiap urusan dengan cepat sepertimana polisi dan dasar kami yang menetapkan 30 minit. Kami tidak menyimpan MyKad yang sudah siap melainkan terus menyerahkan kepada pemiliknya.
"Namun permohonan kian meningkat selepas kerajaan membuat pengumuman bantuan menyebabkan ada sedikit pertambahan masa 10 hingga 15 minit bagi setiap permohonan," katanya.
Muhammad Hafiz berkata pihaknya juga telah merangka pelbagai kaedah untuk memudahkan orang ramai terutamanya bagi mengurangkan kesesakan di seluruh cawangan JPN.
Katanya, orang ramai boleh menyemak laman sesawang rasmi JPN untuk membuat permohonan secara dalam talian termasuk membuat janji temu dengan pegawai bertugas.
"Sebenarnya perkhidmatan ini tidak terhad kepada BUDI95 sahaja, JPN Selangor komited untuk menyahut seruan kerajaan pada masa akan datang yang mungkin akan memperkenalkan inisiatif baharu. Demi rakyat kami bersedia," katanya.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis mula menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI95 sejak tengah malam tadi berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan BUDI95 pada 22 Sept lepas, inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok.
Seluruh warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pula akan mula menikmati BUDI95 pada 30 Sept ini.
Menerusi inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli sehingga 300 liter petrol RON95 setiap bulan pada kadar RM1.99 seliter.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial