AM

Lebih 100 Petugas Bernama Diberi Pendedahan Amalan "Sharenting" Di Media Sosial

26/09/2025 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Lebih 100 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diberi pendedahan berhubung dengan kesedaran risiko amalan sharenting melalui media sosial menerusi taklimat bertajuk Sharenting: Kongsi Bahagia atau Undang Bahaya?, pada hari ini.

Taklimat secara fizikal dan dalam talian yang disertai petugas Bernama di ibu pejabat dan negeri-negeri  itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perhubungan Institusi dan Penglibatan Strategik, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Saiful Ridzwan Mat Darus.

“Pada dasarnya, sharenting ialah ibu bapa yang terlalu berkongsi segalanya tentang anaknya (terutama di media sosial). Lebih-lebih lagi (anak) yang bawah umur.

“Mereka berkongsi segalanya mengenai gambar anak, butiran aktiviti, semua data berkaitan dengan anak yang agak membimbangkan sebab sekarang ada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang orang boleh memanipulasikan segala data tersebut, jadi penting untuk kita tahu amalan sharenting yang baik untuk ibu bapa,” katanya ketika ditemui selepas taklimat anjuran Pusat Kecemerlangan Bernama di sini hari ini.

Saiful Ridzwan berkata apabila ibu bapa terlalu mendedahkan data anak, terutama gambar di media sosial dan dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi AI untuk tujuan tidak baik, langkah itu akan mendedahkan anak mereka menjadi mangsa buli.

Beliau berkata Bernama menjadi lokasi pertama taklimat perkongsian mengenai sharenting itu dan taklimat berkenaan akan diteruskan ke agensi lain dalam usaha memberikan kesedaran mengenai penggunaan Internet yang selamat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Perhubungan Institusi dan Penglibatan Strategik MCMC  Juliana Yek Yen Chyng yang turut memberikan taklimat berkata program itu juga memberikan pendedahan berkaitan dengan penyalahgunaan Internet, khususnya penipuan AI deepfake di media sosial.

“AI sekarang boleh buat pelbagai perkara termasuk meniru suara dan muka dalam video yang ramai tidak tahu mengenai bahayanya.

“Ada yang guna selebriti, guna gambar dengan video suara, teknologi ini boleh buat satu video untuk scam orang ataupun buat berita palsu, jadi kursus ini penting untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan