IPOH, 26 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan memberi tumpuan kepada 332 lokasi hotspot berisiko banjir yang dikenal pasti di seluruh negeri.
Pengarahnya Sayani Saidon berkata daerah Kuala Kangsar, Kerian serta Larut, Matang dan Selama merupakan antara lokasi yang paling banyak hotspot banjir.
"Jadi, kita sudah membuat persediaan dari segi logistik, perkakasan dan peralatan yang perlu digunakan untuk sebarang operasi bencana banjir supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan.
"Orang ramai juga perlu bersiap sedia mengemas barangan dan dokumen penting untuk membolehkan mereka keluar dengan kadar segera dari kediaman jika berlaku banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa supaya kerja penyelamatan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM di Meru Raya di sini hari ini.
Sayani berkata pihakny juga mengenal pasti 32 hotspot berisiko insiden kepala air di negeri ini antaranya Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kinjang dan Sungai Lata Iskandar di daerah Batang Padang serta Sungai Chepor Dalam dan Lubok Timah di daerah Kinta.
Beliau turut memaklumkan laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh terutamanya akibat hujan lebat adalah Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands, Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Jambatan Sungai Enggor serta daerah Kinta yang disenaraikan sebagai kawasan tumpuan kerana berisiko tinggi.
Sayani berkata pihaknya turut meningkatkan kesiapsiagaan terhadap kemungkinan bencana daripada aktiviti seismik seperti gempa bumi, termasuk membabitkan kawasan berisiko seperti rumah ibadat dalam gua.
“Setakat ini kita masih belum menerima sebarang arahan namun sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi terutamanya pihak berkuasa tempatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial