AM

BERNAS Perkasa Misi 80 Peratus SSL Beras Melalui SMART SBB

26/09/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) --  Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaksanakan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) menerusi transformasi digital sektor padi dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), sebagai usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) kepada kepada 80 peratus menjelang 2030.

Ketua Agronomi BERNAS Dr Nur Firdaus Mohamad Yusof berkata pendekatan baharu itu, menjadi tonggak penting dalam memperkasakan pesawah sekali gus memastikan kelangsungan bekalan makanan ruji negara.

“Kalau dulu petani bekerja secara individu, kini mereka disatukan di bawah pengurusan berpusat. Aktiviti seperti kawalan perosak, pembajaan dan menuai dilakukan serentak. Hasil lebih baik, kos pula jauh lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata purata penggunaan beras per kapita negara kini mencecah 76.7 kilogram setahun, dengan jumlah keseluruhan sekitar 2.6 juta tan, namun hanya lebih kurang 56 peratus dihasilkan dalam negara manakala selebihnya diimport.

Sehubungan itu, Nur Firdaus berkata BERNAS melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong pesawah termasuk Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), bagi memastikan mereka hanya menerima benih sah berkualiti tinggi sekali gus mengurangkan isu padi angin.

Mengambil contoh projek SMART SBB di Kota Belud, Sabah, beliau berkata ia berjaya melonjakkan pengeluaran, menurunkan kos operasi dan mengurangkan kadar padi angin daripada 60 peratus kepada 20 peratus dalam satu musim.

Selain itu, Nur Firdaus menekankan penggunaan teknologi pintar melalui Rakan Tani Pintar AI membolehkan pesawah menerima nasihat teknikal segera termasuk berkenaan kawalan penyakit, jadual penanaman hinggalah ke panduan pengairan, dengan jawapan berasaskan data rasmi Rice Check dan pengalaman lapangan agronomis.

 “Di samping itu, langkah memperkukuh sistem Farm Management Solution (FMS) berasaskan Internet benda (IoT), membolehkan lima stesen cuaca milik BERNAS di seluruh negara menyalurkan data ramalan hujan yang lebih tepat, sekali gus membolehkan petani menuai lebih awal sebelum padi rebah.

“Pada masa sama, teknologi Penderiaan Jauh (PSSS) menggunakan dron multispektral membantu mengesan penyakit dan memantau kesuburan tanaman, manakala stereng automatik untuk jentera menjadikan kerja lebih mudah serta menarik minat generasi muda ke sektor ini,” katanya.

Tidak hanya itu, beliau berkata BERNAS turut mengagihkan jentera percuma bernilai RM4 juta setahun kepada ketua tani, dan menyediakan kemudahan Pendahuluan Kos Operasi Ladang (PKOL) tanpa faedah sebelum musim bermula.

“BERNAS juga menyediakan Jadual Kerja Ladang (JKL) serta program makan tengah hari percuma PROMAK untuk anak-anak pesawah, selain melancarkan Makmal Kualiti Beras BERNAS pada 2023, sebelum ia diiktiraf ISO17025:2017, sekali gus menjadikannya pusat ujian beras pertama seumpamanya di Asia,” katanya.

Walaupun ancaman perubahan iklim, katanya kos input meningkat dan kekurangan tenaga kerja muda terus membayangi industri, Malaysia berada di landasan tepat untuk memperkukuh keterjaminan makanan menerusi kombinasi teknologi moden dan dasar yang kukuh.

“Petani adalah nadi industri ini. Dengan mereka diperkasakan, kita bukan sahaja menjamin nasi di pinggan rakyat, tetapi juga masa depan keselamatan makanan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan