AM

PERKESO Keluarkan 125 Kompaun, 93 Pendakwaan Di Melaka

25/09/2025 09:41 PM

ALOR GAJAH, 25 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka mengeluarkan 125 kompaun bernilai keseluruhan RM80,000 serta melaksanakan 93 pendakwaan terhadap majikan di negeri itu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata jumlah itu meningkat berbanding 90 kompaun bernilai RM53,500 dan 58 pendakwaan pada tahun lepas.

“Kesalahan utama yang dikenal pasti ialah kegagalan majikan membuat caruman PERKESO bagi melindungi pekerja, selain kelewatan atau kegagalan mendaftar pekerja.

“Penguatkuasaan ini dijalankan secara berterusan bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin,” katanya selepas merasmikan Program Jalinan Mesra PERKESO bersama Media Melaka 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Melaka, Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir.

Sementara itu, Ngwe berkata PERKESO Melaka menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM17.29 juta kepada 5,895 penerima dari Januari hingga Ogos lepas.

Katanya daripada jumlah itu, faedah Hilang Upaya Sementara merekodkan pembayaran tertinggi sebanyak RM9.43 juta melibatkan 4,367 kes, diikuti Hilang Upaya Kekal sebanyak RM5.26 juta (447 kes).

“Faedah Orang Tanggungan pula membabitkan 21 kes dengan bayaran RM37,999, manakala Pencen Ilat sebanyak RM329,367 (168 kes).

“Bagi Skim Pencen Penakat, sebanyak RM545,914 untuk 315 kes, manakala Faedah Perubatan melibatkan 577 kes dengan jumlah bayaran RM1.68 juta,” katanya.

Pada majlis itu, Ngwe turut menaja 24 pengamal media sambilan dan kontrak di negeri ini untuk dilindungi di bawah Skim Lindung Kendiri selama setahun.

Beliau turut mengingatkan golongan bekerja sendiri supaya mencarum dalam skim berkenaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, yang meliputi 20 sektor pekerjaan termasuk pekerja bebas, pekerja gig dan usahawan mikro.

“Skim ini menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan bekerja sendiri yang tidak dilindungi sektor formal, selain menjamin pendapatan sekiranya berlaku kemalangan, penyakit atau kematian akibat pekerjaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan