JOHOR BAHRU, 25 Sept (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Desa Belantik terus menjadi rujukan komuniti setempat dengan menyediakan pelbagai kemudahan digital, pendidikan dan sosial termasuk semakan kelayakan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Pengurus pusat berkenaan Mohd Ewan Mohamad Noh, 33, berkata NADI tidak hanya menawarkan capaian Internet, malah aktif menganjurkan bengkel, kursus, saringan kesihatan serta program literasi digital, sekali gus menjadi hab komuniti untuk memahami perkembangan dasar kerajaan.
“Kami menjalankan pelbagai program secara berkala untuk komuniti setempat dan ahli NADI. Seperti hari ini, kami bantu orang ramai membuat semakan kelayakan BUDI95, selain mengadakan program penerangan mengenai keselamatan siber,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Penolong Pengurus Hijarliza Ithnin, 40, pula berkata pusat itu sering dikunjungi pelajar dan penduduk berhampiran yang menjadikannya sebagai ruang pembelajaran serta lokasi aktiviti harian.
Bagi pesara Masita Othman, 56, dari Taman Sri Stulang, pusat berkenaan memudahkannya mengurus pelbagai urusan digital termasuk semakan BUDI95.
“Senang buat semakan BUDI95 di sini, kakitangannya pun mahir IT. Saya tahu tentang kemudahan ini daripada kawan dan gembira bila layak untuk BUDI95. Saya juga kerap datang untuk cetak dokumen dan urus perkara mustahak yang memerlukan Internet,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsi suri rumah Ida Noor Ashura, 44, yang meluahkan kegembiraan kerana layak menerima BUDI95 selepas membuat semakan di pusat itu, yang disifatkannya sangat memudahkan urusan harian rakyat.
Semakan kelayakan BUDI95 boleh dibuat bermula hari ini melalui portal rasmi www.budi95.gov.my.
Bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tebrau Bakar Batu Muhammad Aidi Rayyan Abdullah, 12, pusat berkenaan membolehkannya menyiapkan kerja sekolah dan mempelajari perkara baharu menggunakan Internet.
Rakan sekelasnya Muhammad Fikri Adam Mohamad Faizal, 12, berkata suasana mesra di pusat itu mendorong pelajar untuk belajar selain berhibur bersama rakan.
“Saya suka datang dengan kawan ke sini. Abang dan kakak di sini sporting, selalu tolong kami. Kalau belajar percuma tapi kalau main game kena bayar RM1 untuk sejam. Kebiasaannya saya belajar dulu sebelum main permainan dalam talian,” katanya.
Pusat NADI adalah inisiatif kerajaan untuk memperluas literasi digital, menghubungkan masyarakat dengan teknologi maklumat dan memperkasakan komuniti agar tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial