DUNIA

Roti Canai "Terbang" Curi Tumpuan Di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Di Thailand

26/09/2025 12:05 AM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 25 Sept (Bernama) -- Roti canai “terbang” yang terkenal di Malaysia mencuri tumpuan pada majlis resepsi meriah anjuran Kedutaan Besar Malaysia di sini pada Khamis malam sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Cef Mohamad Arshad memukau hadirin dengan aksi lincah melambung roti canai tinggi ke udara, disambut dengan tepukan gemuruh selain ramai tetamu merakamkan persembahan itu menggunakan telefon dan kamera mereka.

Tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah Malaysia termasuk nasi lemak, mi kari, soto ayam, teh tarik, char koay teow, roti john dan sate.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Bangkok itu menarik lebih 600 tetamu, termasuk diplomat asing, profesional Malaysia, pemimpin perniagaan serta wakil daripada Dewan Perniagaan Malaysia-Thai (MTCC), Kelab Malaysia Thailand (KMT) dan Persatuan Rakyat Malaysia di Bangkok (MIB).

Tetamu kehormat yang hadir termasuk Yang Dipertua Perhimpunan Kebangsaan merangkap Speaker Dewan Perwakilan Thailand Wan Muhammad Noor Matha, Menteri Kesihatan Awam Pattana Promphat dan Timbalan Menteri Pertanian dan Koperasi Amin Mayusoh.

Dalam ucapannya, Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata Malaysia dan Thailand berkongsi hubungan erat yang diperkukuh dengan perdagangan yang semakin meningkat serta pertukaran peringkat tinggi yang kerap, sekali gus mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama.

Beliau menegaskan bahawa Thailand secara konsisten merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam ASEAN sejak 2020, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah US$26 bilion pada 2024, meningkat 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kita menetapkan sasaran berani untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$30 bilion menjelang 2027.

“Dari segi politik, para pemimpin kedua-dua negara mengekalkan hubungan rapat. Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan pada 2023, beliau telah melakukan enam lawatan ke Thailand. Pertukaran peringkat tinggi ini menegaskan komitmen Malaysia untuk memperdalam hubungan,” katanya.

Sementara itu, Bong turut mengumumkan bahawa staf kedutaan akan kembali beroperasi di Bangunan Chancery pada November ini selepas kerja pengubahsuaian yang disiapkan awal tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan