KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tumpuan dunia melalui penganjuran Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 (WSSF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 29 Sept hingga 3 Okt.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan forum lima hari itu dianjurkan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dengan kerjasama PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Forum ini akan menghimpunkan pemimpin daripada hampir 300 organisasi keselamatan sosial dari seluruh benua untuk membincangkan cabaran perlindungan sosial dalam dunia yang sentiasa berubah dengan pantas,” menurut kenyataan itu.
Forum bertemakan “Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia dalam Peralihan” akan membincangkan perubahan demografi global, dinamik pasaran buruh serta kemajuan teknologi selain meneroka usaha ke arah memastikan kelestarian perlindungan sosial.
Lebih 1,500 perwakilan dari lebih 150 negara dijangka hadir termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil organisasi antarabangsa.
Antara peserta ialah Ketua Global Bank Dunia dalam bidang Penuaan dan Pencen Fiona Elizabeth Stewart dan Pengarah Perlindungan Sosial Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Razavi Shahrashoub.
Persidangan juga akan menampilkan pendekatan Malaysia dalam bidang keselamatan sosial pada Sesi Plenari Nasional oleh beberapa menteri Malaysia termasuk Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
“Persidangan ini akan meneroka idea inovatif dan futuristik bagi memperkukuh sistem keselamatan sosial supaya kekal relevan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global semasa,” menurut kenyataan itu.
Program itu mendapat sokongan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) selaku sekretariat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial