AM

KESUMA Rancang Anjur Kursus Pengurusan Kewangan Kepada Pekerja Gig

22/09/2025 11:10 AM

BUKIT MERTAJAM, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang menganjurkan kursus pengurusan kewangan kepada pekerja gig sebagai langkah membantu mereka merancang kewangan secara lebih berkesan dalam usaha memperkasakan kumpulan itu.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata langkah itu juga penting untuk membantu pekerja gig mempelajari selok-belok pengurusan kewangan termasuk menyimpan dan melabur.

"Kita dah mula adakan jerayawara di Kuala Lumpur dengan pekerja gig dalam sektor perfileman, dan kita berada di sini dengan kebanyakannya pekerja e-hailing... daripada maklum balas yang kita dapat tadi, mungkin ada keperluan memberikan kursus pengurusan kewangan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Penang Rider Jalan Teruih di Permatang Pauh di sini malam tadi.

Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan pada pertemuan itu ialah pemahaman berhubung kewajipan cukai boleh ditangani melalui pendedahan kepada literasi kewangan yang komprehensif.

"Ada kegusaran tentang membayar cukai... mungkin ada pemahaman yang kurang tepat tentang pencukaian, dan dengan adanya kursus literasi ataupun kecelikan kewangan maka kita memperkasakan mereka agar lebih faham isu pencukaian dan boleh urus kewangan dengan baik,” katanya.

Sim juga berkata KESUMA akan meneruskan siri jelajah bertemu dengan pekerja gig di seluruh negara sebagai platform untuk memberi penerangan lanjut mengenai pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata sesi libat urus itu juga diadakan bagi mendengar permasalahan pekerja gig dan pihaknya mencuba membantu mencari jalan penyelesaian terhadap situasi yang membelenggu mereka.

KESUMA juga merancang untuk memberikan latihan kemahiran kepada pekerja gig seperti kursus membaiki motosikal dan memasak bagi membantu pembangunan kerjaya serta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Sim turut meminta pengusaha pasar raya, pusat beli-belah dan medan selera, khususnya yang berskala besar, menyediakan kemudahan menunggu yang lebih sesuai serta selamat bagi pekerja gig seperti penghantar makanan dan barangan.

Beliau berkata penyediaan tempat menunggu yang lebih strategik dan mesra pekerja gig akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penghantar malah pelanggan serta pengusaha pasar raya, pusat beli-belah dan medan selera itu sendiri.

"Apabila rider tiba untuk mengambil makanan atau barangan, masa mereka sangat terhad dan jika lokasi menunggu jauh, tiada tempat teduh dan tempat letak motosikal pula terhad, ia bukan sahaja menyukarkan mereka malah melambatkan proses penghantaran kepada pelanggan terutama jika hujan," katanya.

Program Penang Rider Jalan Teruih malam tadi berjaya menghimpunkan lebih 1,500 penunggang motosikal dengan majoritinya daripada kalangan pekerja gig khususnya p-hailing dan merupakan sebahagian daripada siri jelajah penerangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025.

Ia dimulakan dengan konvoi motosikal sejauh tiga kilometer yang diketuai Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu bersama lebih 300 penunggang lain dari pejabat JPJ Seberang Jaya menuju ke tapak utama program di Permatang Pauh.

Program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang serta Pusat Pembangunan Belia Pulau Pinang yang disertai kelab motosikal seperti Xtreme Bikers Club, MSBKC, Northern Versy Owner Group, Zontes 368G Northern Rider Club, PMTC, Sahabat Honda Penaga, ATMS dan RRC Grab 2W Penang.

Ini merupakan kali pertama Sim berpeluang bertemu secara langsung dengan 1,500 pekerja gig bagi menerangkan RUU itu, yang bertujuan memberi perlindungan kepada mereka daripada aspek undang-undang perburuhan, keselamatan sosial dan hak sebagai pekerja gig.

Para peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa sebuah motosikal elektrik dan lebih 400 hadiah lain sekali gus menjadikan program ini sebagai platform penting bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti pekerja gig.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan