EKONOMI

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS Perlu Dimuktamadkan - PM Anwar

25/09/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan bagi Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan timbal balas yang sedang dirundingkan.

Beliau berkata, ini kerana rundingan itu akan turut dapat mendorong ketentuan arah tuju dasar serta perancangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Perkara tersebut diutarakan Perdana Menteri ketika menerima kunjungan hormat daripada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer dan delegasinya hari ini sempena kehadiran mereka ke Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan yang sedang berlangsung di ibu negara.

“Dalam pertemuan ini kami bertukar-tukar pandangan berkaitan hubungan strategik kedua-dua negara serta ASEAN terutamanya dari perspektif perdagangan,” kata Anwar menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau hari ini. 

Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan dagang yang seterusnya akan dapat mendorong pertumbuhan ekonomi domestik yang mapan.

Semalam, Greer hadir ke Mesyuarat Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AEM-USTR) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan