KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan sesi penerangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bersama-sama kumpulan seni kreatif, khususnya bidang seni suara yang kebanyakannya merupakan pekerja bebas, selepas beberapa siri libat urus dengan pelbagai sektor lain.
KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi itu disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim baru-baru ini yang dihadiri hampir 100 penggiat seni antaranya penerbit, pemuzik, penyanyi, penulis lirik, komposer serta pereka animasi dan grafik.
“Sesi taklimat ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri kreatif, sekali gus memastikan pekerja gig di Malaysia menerima hak, perlindungan dan pembelaan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
KESUMA menjelaskan pada sesi yang turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez itu, Sim menerangkan kaedah undang-undang baharu itu dapat memberikan kebaikan dan kelebihan kepada para penggiat seni.
Antaranya, jika tiada tempoh bayaran dinyatakan dalam perjanjian, entiti kontrak yang mengupah pekerja gig wajib membuat pembayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perkhidmatan disempurnakan.
Selain itu, KESUMA memaklumkan entiti kontrak atau pemberi kerja turut diwajibkan untuk menyediakan slip bayaran sekiranya diminta oleh pekerja.
"Sesi penerangan ini juga memberikan peluang kepada para penggiat seni untuk bertanya secara langsung berkenaan masalah yang sering dihadapi oleh mereka," menurut kenyataan itu.
Steven Sim turut menegaskan bahawa undang-undang baharu itu akan menoktahkan status pekerja gig yang selama ini telah dinafikan hak dan keadilan mereka sepanjang 100 tahun kewujudan industri seni di Malaysia.
“Dalam masa sama, KESUMA akan terus membantu penggiat seni dalam mengembangkan kerjaya anak seni menerusi program latihan kemahiran yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah KESUMA,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial