KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Tanjung Aru di sini pada 2 petang bagi mengadakan lawatan dua hari ke Sabah.
Ketibaan Anwar disambut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan Menteri Kabinet negeri serta ketua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Anwar, yang juga Presiden PKR, akan menghadiri Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan Sempena 27 Tahun Reformasi di tiga daerah di Sabah.
Sejurus tiba, beliau meluangkan masa melawat Jambatan Kampung Rampayan, Manggatal sebelum meneruskan tinjauan ke Jeti Sungai Inanam bagi sesi lawatan pascabanjir di kawasan Inanam.
Perdana Menteri kemudian melawat Dewan Pisompuruan di Kampung Kobuni, Inanam sebelum menghadiri program kedua di Pusat Komuniti Desa, Merotai Besar, Tawau.
Beliau seterusnya akan menghadiri program ketiga di Dewan Yu Yuan, Sandakan.
Pada Sabtu, Anwar akan menghadiri Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Kompleks Kuarters Angkatan Tentera Malaysia, Taman Samudera, Sandakan.
Selepas itu, beliau dijadual menghadiri Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kompleks APMM Zon Maritim, Sandakan.
Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial