AM

PM Ke Sabah Untuk Segerakan Projek Penting Termasuk Pembangunan Semula IPG Kampus Gaya

26/09/2025 01:53 PM

PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berlepas ke Kota Kinabalu hari ini bagi menyegerakan beberapa projek penting untuk rakyat termasuk pembangunan semula Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat tanah runtuh.

Memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, beliau berkata kampus berkenaan sukar dibaiki kerana kerosakan menyeluruh, dan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memindahkannya ke kawasan lain.

“Perkara ini tidak ada dalam perancangan awal Kementerian Kewangan tetapi beberapa penyesuaian harus dibuat... kalau tanya bahagian belanjawan, mereka akan jawab setuju (tetapi) guna peruntukan sedia ada... cuma saya akan ubah suai sedikit,” katanya.

Anwar berkata penyesuaian bajet kerajaan bukan bertujuan untuk berbelanja secara mewah sebaliknya memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.

“Apa sahaja hasil negara, bukan untuk bermewah tetapi untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menyediakan segera laporan lebih terperinci berhubung kerosakan bangunan IPG Kampus Gaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan