KAMPAR, 26 Sept (Bernama) -- Bidang fotografi berjaya membuka lembaran baharu sebagai sumber pendapatan kepada seorang pengusaha durian, hasil latihan yang disediakan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Tualang Tekah, Malim Nawar di sini.
Latihan fotografi yang dijalankan secara dalam talian melalui program NADI Mahir itu membolehkan peserta menguasai teknik asas dan lanjutan dalam penghasilan foto serta video dengan hanya menggunakan peranti telefon pintar.
Azrul Hisham Kamarudin, 47, berkata ilmu yang diperoleh sepanjang enam bulan mengikuti latihan di NADI Tualang Tekah itu membuka peluang untuknya menjana pendapatan tambahan.
“Sebelum ini, saya hanya ambil gambar suka-suka tanpa faham teknik tetapi selepas masuk kelas latihan Mahir Foto di NADI, saya belajar tentang sudut yang betul, pencahayaan, kreativiti serta suntingan yang sesuai.
“Sekarang saya hasilkan gambar atau video dan ada yang saya jual kepada pempengaruh (dijadikan sebagai kandungan di media sosial). Saya juga pernah memenangi pertandingan video dengan menggunakan segala ilmu yang saya belajar di NADI,” katanya ketika ditemui Bernama di NADI Tualang Sekah dekat Malim Nawar di sini.
Azrul Hisham berkata beliau mempunyai perancangan untuk menjadikan bidang fotografi sebagai satu daripada sumber rezeki utama selepas ini.
Beliau berkata latihan yang ditawarkan bersifat praktikal dan sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk golongan berusia yang ingin memulakan kerjaya baharu atau menambah pendapatan secara separuh masa.
“Kami hanya gunakan telefon pintar, tidak perlu menggunakan kamera mahal. Yang penting tahu teknik, bila kami muat naik gambar cantik di media sosial, orang suka dengan hasil kerja,” katanya.
Beliau berkata latihan fotografi di NADI turut merangkumi penggunaan aplikasi penyuntingan foto dan video, penghasilan kandungan digital serta asas pemasaran di media sosial yang kesemunya penting dalam menarik perhatian dan menjual hasil kerja kepada pelanggan secara dalam talian.
Latihan fotografi adalah sebahagian daripada teras Keusahawanan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diperkenalkan di bawah inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI, dengan objektif memperkasa komuniti luar bandar agar celik digital dan berdaya saing dalam ekonomi moden.
Tenaga pengajar berpengalaman memberi bimbingan secara langsung dalam sesi yang berskala kecil membolehkan setiap peserta lebih fokus dan mudah memahami teknik yang diajar.
Azrul Hisham turut berkongsi pengalaman mengikuti latihan pertanian di pusat itu, yang membolehkannya mempelajari konsep ‘pertanian pintar’ menggunakan telefon pintar untuk proses penyiraman dan pembajaan.
“Konsep ‘pertanian pintar’ ini kita tidak perlu kerja keras, hanya kerja dengan bijak. Semua ini diajar melalui latihan pertanian di NADI ini,” katanya, yang turut mengusahakan penanaman cili, bendi dan tomato ketika ini.
Objektif NADI bukan hanya menyediakan capaian Internet, tetapi juga memperkasa komuniti melalui lima teras utama inisiatif Perkhidmatan Pintar yang diperkenalkan sejak Julai 2024 iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan.
Inisiatif Perkhidmatan Pintar ini bertujuan memastikan setiap program yang dijalankan mampu memenuhi keperluan komuniti dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan impak yang besar dalam memperbaiki kualiti hidup dan memacu kemajuan masyarakat secara menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial