AM

42 NADI Beroperasi Sepenuhnya Di Pulau Pinang, Manfaat Kepada Komuniti Luar Bandar

21/09/2025 08:18 PM

KEPALA BATAS, 21 Sept (Bernama) -- Sebanyak 42 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi sepenuhnya di seluruh Pulau Pinang yang memberi manfaat kepada komuniti sebagai pusat sehenti untuk capaian Internet, program celik digital dan latihan kemahiran khususnya di kawasan luar bandar.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pulau Pinang Mohd Fitri Hashim berkata hingga kini pusat berkenaan telah berjaya menarik 10,827 ahli berdaftar dengan keseluruhan penyertaan aktiviti mencecah 17,743 orang.

"Pusat NADI berperanan sebagai hab digital komuniti yang menyediakan kemudahan Internet dan latihan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selaras dengan usaha merapatkan jurang digital, khususnya di kawasan luar bandar.

"Pelbagai program pemerkasaan komuniti turut dijalankan di Pusat NADI termasuk literasi digital, keselamatan siber, dan latihan keusahawanan digital yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian NADI Bertam di Permatang Langsat, di sini oleh Setiausaha UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Ahmad Darus mewakili  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pelbagai program menarik disediakan kepada orang ramai termasuk kanak-kanak sempena majlis perasmian itu, antaranya pertandingan mewarna, memasak kerabu dan mengubah kek, serta jualan pelbagai jenis makanan dan saringan kesihatan percuma.

Turut diadakan cabutan bertuah kepada orang ramai dengan lebih 30 jenis hadiah menarik termasuk barangan elektrik dan keperluan asas.

Mohd Fitri juga menyeru masyarakat setempat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan bagi meningkatkan kemahiran digital dan memperluas peluang ekonomi secara dalam talian.

"Komitmen MCMC adalah untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pendigitalan negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Beliau menjelaskan NADI yang ditempatkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Mutiara itu, kini dilengkapi fasiliti saringan kesihatan asas untuk penduduk tempatan melakukan pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, tahap glukosa dan indeks jisim badan (BMI).

Tambah beliau orang ramai boleh mendapatkan saringan kesihatan asas di semua NADI dan setakat ini ia telah mendapat sambutan yang baik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan