AM

MPKK Hasrat Jadikan Hari Kuale Lenggang Sebagai Program Dwitahunan

21/09/2025 08:55 PM

KUALA KANGSAR, 21 Sept (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) berhasrat untuk menjadikan program komuniti Hari Kuale Lenggang sebagai acara dwitahunan ikonik yang mampu memperkukuh kedudukan bandar diraja itu sebagai pusat budaya, pelancongan dan komuniti mapan di Perak.

Hari Kuale Lenggang yang julung-julung kali dianjurkan semalam oleh MPKK dan Visual Motion Lab dengan kerjasama Think City dan Yayasan Hasanah itu berjaya menarik lebih 7,000 pengunjung ke Jalan Kangsar, di sini.

Yang Dipertua MPKK Dr Sakduddin Zamli berkata program yang mengambil inspirasi daripada Kuale Car Free Day itu diperluas pengisiannya dengan aktiviti berteraskan budaya, gaya hidup, sukan dan kesedaran komuniti.

“Program Hari Kuale Lenggang dapat menyemarakkan Kuala Kangsar sebagai pusat tarikan pelancong dan aktiviti komuniti, di samping memberikan limpahan ekonomi kepada peniaga dan pemain industri pelancongan tempatan.

“Peniaga dan usahawan yang terlibat meluahkan rasa syukur atas ruang yang diberikan dan menzahirkan harapan agar program sebegini diteruskan kerana ia membantu menambah pendapatan mereka serta mempromosikan keunikan produk Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aktiviti yang disusun termasuklah Program Subuh Macam Jumaat, Lenggang Kuale 5KM Fun Run, Explorace Warisan dan Budaya, Kayuhan Basikal 25KM, persembahan tarian Orang Asli Ulu Bekor, jualan makanan warisan, persembahan kebudayaan kaum Melayu, Cina dan India serta HOHO bas ronda-ronda lokasi pelancongan Kuala Kangsar.

Terdahulu, Sakduddin menyempurnakan sesi pelepasan peserta Leggang Kuale 5KM Fun Run, Kayuhan Basikal 25KM dan Explorace Warisan pada program Hari Kuale Lenggang di Kuala Kangsar, semalam.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Pelancongan Tourism Perak Mohd Fauzan Baharudin yang mewakili Pengarah Tourism Perak berkata penganjuran Hari Kuale Lenggang disifatkan bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan dan kebersamaan sebagai tunjang pembangunan negara.

"Program ini menjadi medan pertemuan masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli untuk meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana harmoni.

“Hari Kuale Lenggang diyakini mampu menjadi tarikan utama bukan sahaja kepada warga tempatan, malah pelancong luar juga. Keunikan warisan ditampilkan akan terus menjadikan Kuala Kangsar destinasi budaya bertaraf dunia, pada masa sama memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan