KOTA BHARU, 21 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa penjawat awam terus memperkukuh integriti bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sektor kerajaan.
Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya sentiasa memantau tahap integriti dalam kalangan penjawat awam bagi mengelakkan sebarang pembabitan dengan isu rasuah atau penyelewengan.
“Mungkin ada kelemahan didedahkan pihak tertentu membabitkan perkhidmatan awam, namun persepsi umum tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenar.
“Dalam hal ini, kita perlu mengambil langkah yang lebih tertib agar reputasi penjawat awam tidak terjejas. Setakat ini kami berpuas hati penjawat awam kekal fokus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.
Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Ke-17 Kesatuan Kakitangan KADA 2025 di Ibu Pejabat KADA, di sini, hari ini.
Beliau berkata kecemerlangan perkhidmatan sektor awam selari dengan kelebihan dinikmati penjawat awam melalui pelaksanaan kenaikan gaji oleh kerajaan bermula tahun lepas, dengan baki kenaikan dijadualkan pada Januari depan.
“Apabila kelebihan itu diperoleh, sudah pasti fokus kami untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial